Thursday, February 18, 2010

NGO pantau agensi pekerja asing ditubuh

Patree pastikan isu segera diselesai elak jejas imej Malaysia

PUTRAJAYA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pertubuhan Malaysia Bebas-Pati (Patree), ditubuhkan bagi membantu orang ramai, majikan dan pekerja asing di negara ini yang berasakan diri mereka teraniaya.

Presidennya, Zul Azhar Cha, berkata tujuan utama penubuhan Patree adalah untuk melindungi orang ramai yang sering menjadi mangsa penipuan apabila agensi pekerja asing enggan bertanggungjawab selepas pembantu rumah melarikan diri dari rumah majikannya.

Zul Azhar berkata, pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi menangani pelbagai masalah membabitkan pekerja asing di Malaysia termasuk isu penderaan pembantu rumah.

"Kita tidak mahu lagi mendengar isu pekerja asing tidur bawah jambatan, pembantu rumah didera dan majikan ditipu daripada terus berleluasa.

"Kita akan pastikan gejala ini tidak terus berlaku kerana ia boleh menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan pembekal pekerja asing termasuk Indonesia, Bangladesh dan India. Apa yang penting kita mahu menjaga hubungan baik dua hala dengan negara berkenaan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, semalam.

Zul Azhar, berkata khidmat nasihat dan runding cara yang disediakan bukan hanya khas untuk pembantu rumah dan majikan, tetapi turut membabitkan pekerja di sektor lain seperti perladangan, perkilangan atau perkhidmatan.

"Sekiranya ada pekerja asing dalam bidang perladangan yang ditipu majikan atau agensi seperti tidak mendapat gaji yang dijanjikan seperti yang termaktub dalam perjanjian, mereka juga boleh membuat aduan kepada Patree, kita akan bantu dan lindungi mereka.

"Patree akan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah berkaitan golongan ini," katanya.

Katanya, mengikut pelan penubuhan Patree, pertubuhan itu akan menyediakan satu pangkalan data khusus mengenai majikan dan pekerja asing di negara ini bagi membolehkan mereka melakukan pemantauan dengan lebih terperinci setiap majikan dan pekerja.

"Orang ramai yang mempunyai masalah dengan pekerja asing khususnya pembantu rumah boleh merujuk kepada Patree dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menelefon di talian 012-7777548 dan menghantar e-mel ke zulazharcha@ymail.com," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...