Saturday, February 20, 2010

Muntik Tidak Dibawa Ke Zon Merah Kerana Masih Sedar Walaupun Tenat

SHAH ALAM, 19 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani yang meninggal dunia kerana didera, tidak dimasukkan terus ke wad kecemasan zon merah (zon kritikal) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang kerana mangsa masih sedar, boleh bercakap dan bernafas dengan normal walaupun dalam keadaan tenat.

Pembantu pegawai perubatan Mohd Azhan Abdul Wahab, 29, yang bertugas di Jabatan Kecemasan HTAR, berkata sebaliknya beliau dan seorang lagi pembantu pegawai perubatan Muhamad Sahid Abdul Karim (saksi pendakwaan) yang membawa Muntik ke hospital menaiki ambulans, menghantar mangsa ke wad kecemasan zon kuning (zon separa kritikal) bagi mendapatkan rawatan.

"Ketika pesakit (Muntik) sampai di hospital, saya lihat pesakit sudah diberi rawatan awal dengan adanya surgical collar untuk menyokong leher dan spinal board untuk menyokong tulang belakang. Muhamad Sahid maklumkan kepada saya supaya pesakit (Muntik) dimasukkan ke zon kuning.

"Pesakit (Muntik) dibawa ke zon kuning dengan cermat dan berhati-hati dan tiba di sana (zon kuning) Dr M.Shujatha (saksi ke-39 pendakwaan) terus memberikan rawatan kepada pesakit," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes penjual air tebu, A.Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Okt lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan.

Mohd Azhan yang juga saksi ke-44 pendakwaan seterusnya berkata selain melihat Muntik berada dalam keadaan tenat, beliau juga ternampak kesan lebam di kedua-dua belah mata mangsa.

"Setelah membawa pesakit (Muntik) ke zon kuning, saya kemudian mendaftarkan pesakit itu bawah kategori kes serangan setelah dimaklumkan oleh Muhamad Sahid," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung 1 Mac depan. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...