Tuesday, February 23, 2010

MTUC mahu cadangkan gaji amah warga asing ditetapkan

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan menetapkan kadar gaji yang lebih jelas bagi pembantu rumah warga asing supaya ia dapat diseragamkan.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, perbincangan perlu diadakan antara pihak-pihak yang terlibat dalam menentukan kadar gaji asas pembantu rumah di negara ini.

"Terlalu umum jika kerajaan mengatakan pembayaran gaji pembantu rumah dibuat mengikut pasaran pada masa ini.

"Jika gaji ditentukan melalui kuasa pasaran, ia akan menimbulkan tanda tanya di kalangan majikan dan pekerja tentang kadar gaji yang sebenar mengikut pasaran semasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam menyatakan pembantu rumah warga asing akan menerima gaji mengikut kadar pasaran semasa ekoran kerajaan tidak menandatangani sebarang syarat berhubung gaji minimum dalam memorandum persefahaman (MoU) bersama negara lain termasuk Indonesia.

Syed Shahir berkata, walaupun kebanyakan majikan membayar gaji yang lebih kepada pembantu rumah, perlu ada satu mekanisme yang diperkenalkan pihak bertanggungjawab dalam menentukan keseragaman gaji mereka.

"Jika ada kadar gaji tetap untuk pembantu rumah ini, maka saya rasa tidak mungkin wujud masalah dan seandainya terdapat bayaran lebih oleh pihak majikan, itu adalah atas dasar timbang rasa," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja Malaysia Airlines System (MASEU), Alias Aziz berkata, gaji minimum yang dicadangkan kepada pembantu rumah warga asing adalah antara RM300 hingga RM600.

Katanya, kerajaan tidak perlu mengikut kehendak Indonesia agar gaji minimum pembantu rumahnya ditetapkan pada kadar RM800 sebulan.

"Kadar tersebut terlalu tinggi dan tidak wajar untuk dituruti kerana ia akan menimbulkan beban kepada mereka yang benar-benar memerlukan pembantu rumah tetapi kurang berkemampuan," kata beliau.

Alias berkata, pada masa ini keperluan pembantu rumah di kalangan mereka yang berpendapatan rendah kian meningkat bagi menjaga anak-anak sewaktu mereka keluar bekerja.

Justeru katanya, perlu ada penetapan gaji yang bersesuaian bagi pembantu rumah tersebut supaya tidak mendatangkan beban kepada majikan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...