Monday, February 22, 2010

Makmal khas ditubuhkan perkemas pengambilan pekerja asing: Muhyiddin

 
 TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah), hadir pada 
Mesyuarat Jawatankuasa Kebinet mengenai pekerja dan pendatang asing tanpa izin di 
Bangunan Putra, di Putrajaya, hari ini. Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri 
Datuk Mahmood Adam (kanan). - Foto Izhari Ariffin.

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan menubuhkan makmal bagi mengkaji pengurusan pengambilan pekerja asing termasuk peranan syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja ke negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata penubuhan makmal itu yang dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini Isnin, akan diterajui Kementerian Dalam Negeri dengan wakil daripada kementerian dan agensi yang berkaitan dan diberi masa dua bulan untuk memberikan maklum balas kepada kerajaan.

Katanya makmal tersebut akan mengkaji daripada segi dasar dan prosedur pengambilan pekerja asing, peranan syarikat penyumberan luar dan ejen pekerja asing, meneliti undang-undang sedia ada dan memberi cadangan mengenai langkah wajar yang perlu diambil agar pengambilan pekerja asing adalah mengikut keperluan.

"Kita mahu pastikan peraturan lebih ketat dikenakan. Ini bermakna, sesebuah syarikat yang mahukan pekerja, maka pihak kementerian akan meneliti sama ada permohonan untuk menambah pekerja itu wajar diluluskan.

"Makmal juga akan memperkemas sistem sedia ada bagi memantau dan memastikan kepulangan pekerja asing ke negara asal selepas tamat tempoh bekerja di negara ini mengikut waktu yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu Isnin.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Muhyiddin berkata mengikut rekod Jabatan Imigresen, sehingga penghujung tahun lalu terdapat kira-kira 1.59 juta pekerja asing yang sah di negara ini berbanding 2.06 juta pada akhir tahun 2008.

"Penurunan sebanyak 470,000 orang itu berikutan situasi ekonomi pada tahun lalu menurun dan majikan mengambil langkah mengurangkan jumlah pekerja asing termasuk pekerja (ekspatriat) dari luar negara," katanya.

Beliau berkata keperluan untuk mengkaji semula peranan syarikat penyumberan luar dan ejen pekerja asing perlu dilakukan berikutan terdapat kesamaran dari segi status majikan.

"Mengikut situasi sekarang, syarikat penyumberan luar dianggap juga sebagai majikan. Bagi saya, ia tidak seharusnya begitu, majikan adalah syarikat yang memerlukan pekerja untuk menjalankan urusniaga mereka," katanya.

Muhyiddin berkata makmal itu akan meneliti peranan sebenar mereka bagi memastikan mereka bertanggungjawab menguruskan pengambilan dan membekalkan pekerja kepada syarikat yang memerlukannya.

"Ini kerana pada masa ini, tidak ada seorang pun majikan melanggar undang-undang dan majikan dibawa ke muka pengadilan kerana tidak melaksanakan peraturan yang sewajarnya berikutan ada kesamaran dari segi status majikan dan syarikat penyumberan luar".

Beliau berkata syarikat penyumberan luar yang tidak berfungsi dengan cekap dan tidak mematuhi peraturan akan menghadapi kemungkinan lesen mereka ditamatkan bagi memastikan syarikat yang berupaya sahaja dibenarkan menguruskan pengambilan pekerja asing.

"Kita minta agar kementerian yang berkenaan meneliti kembali kedudukan syarikat itu dari segi keupayaan sebenar, modal, sumber manusia, logistik untuk membawa masuk pekerja dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 277,000 syarikat penyumberan luar di negara ini dan hanya sebahagian daripadanya aktif.

Muhyiddin berkata kementerian yang diberi kuasa untuk menimbang dan meluluskan pekerja asing perlu berhati-hati bagi memastikan tidak wujud penyalahgunaan oleh pihak-pihak tertentu berikutan terdapat pekerja asing bekerja di sektor yang berbeza daripada dipohon majikan.

Katanya makmal itu juga akan meneliti penggunaan pekerja asing di barisan hadapan seperti pelayan di restoran hotel yang tidak memberikan gambaran sebenar daripada segi sektor pelancongan negara.

"Bidang seperti itu perlu memberi keutamaan kepada rakyat tempatan agar mereka boleh menunjukkan adat resam, budaya dan bahasa yang kita semua banggakan. Ini sebagai faktor jualan untuk Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata KDN juga diminta membuat kajian daripada segi kos bagi pengambilan pekerja asing daripada segi bayaran levi dan kos perubatan berbanding kos gaji dan imbuhan yang dibayar kepada pekerja tempatan kerana terdapat majikan yang cenderung menggaji pekerja asing.

Makmal juga akan mengkaji galakan dan insentif bagi syarikat tempatan yang mengambil pekerja tempatan sebagai dorongan kepada pihak terbabit mengambil langkah sedemikian, katanya.

Beliau menjelaskan keputusan yang akan diambil kelak daripada cadangan yang akan dikemukakan oleh makmal itu akan mengambil kira pelbagai aspek seperti situasi semasa, pihak yang berkepentingan bagi memastikan ia tidak menjejaskan ekonomi negara. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...