Tuesday, February 16, 2010

Majikan perlu beri kerjasama

PUTRAJAYA 15 Feb. - Semua pihak terutamanya majikan perlu tampil memberi kerjasama dengan Jabatan Imigresen berhubung pengambilan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, sudah menjadi tanggungjawab majikan untuk tampil membawa pekerja mereka yang tinggal melebihi tempoh di negara ini berjumpa dengan pihak imigresen.

Bagaimanapun, katanya, beliau berpuas hati dengan jumlah PATI dan majikan yang datang ke jabatan itu sebelum operasi besar-besaran dilakukan bagi menangkap dan mengusir mereka.

"Kita harap lebih ramai akan tampil menyerah diri supaya hukuman yang lebih ringan dapat dipertimbangkan sebelum kita mengadakan operasi besar-besaran.

"Semua pihak termasuk orang awam perlu memberikan kerjasama dan tidak boleh mengharapkan imigresen semata-mata untuk menangani masalah ini jika kita mahu negara bebas daripada PATI," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Operasi besar-besaran itu yang sepatutnya diadakan hari ini telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Penangguhan itu disebabkan rayuan daripada pelbagai pihak yang memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) menangguhkan seketika operasi berkenaan.

PATI yang ditahan boleh dikompaun RM30 bagi setiap hari tinggal melebihi tempoh atau maksimum RM3,000, manakala yang memasuki Malaysia tanpa dokumen boleh disebat.

Majikan yang didapati melindungi PATI pula akan didakwa mengikut Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007 selain Akta Imigresen 1959/63.

Abdul Rahman berkata, usaha membanteras PATI dan membendung kegiatan jenayah serta maksiat membabitkan pendatang asing tetap diteruskan seperti biasa.

"Operasi penguatkuasaan seluruh negara tetap diteruskan cuma operasi besar-besaran itu sahaja yang ditangguhkan sehingga kita memperoleh keputusan daripada menteri untuk melakukannya," katanya.

Ditanya mengenai pelajar asing yang tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan, beliau berkata, pihak imigresen akan mengambil tindakan yang sama terhadap mereka.

Sementara itu, beliau memberitahu, depot tahanan di seluruh negara tidak mempunyai masalah kepadatan PATI kerana proses penghantaran berjalan seperti biasa. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...