Wednesday, February 24, 2010

Majikan elak kursus amah patut kena tindakan tegas

Papa syor larang ambil pembantu rumah baru, baharui permit

KUALA LUMPUR: Majikan yang gagal menghadiri kursus khas dikelolakan Kementerian Sumber Manusia dalam tempoh enam bulan selepas pembantu rumah mula bekerja dengan mereka dicadangkan tidak dibenar mengambil pembantu rumah baru selepas tempoh khidmat pekerja asing itu tamat.

Cadangan itu dikemukakan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) dalam usaha memastikan semua majikan termasuk golongan kenamaan yang menggunakan khidmat pembantu rumah asing menghadiri kursus wajib berkenaan bagi memastikan mereka mengetahui syarat dan tugas sebenar pembantu rumah seperti terkandung dalam perjanjian.

Kursus seumpama itu sudah dilaksanakan di Singapura dan pelepasan daripada menghadiri kursus itu hanya dibenar jika majikan mendapat surat kelulusan daripada menteri.

Berikutan itu, Presidennya, Alwi Bavutty berkata, majikan yang menghadiri kursus berkenaan akan diberi sijil sebagai bukti kehadiran dan sijil itu juga menjadi syarat bagi membolehkan mereka memperbaharui permit atau mengambil pembantu rumah baru.

Katanya, walaupun banyak pihak tidak bersetuju dengan pelaksanaan kursus khas yang diwajibkan terhadap majikan dan pembantu rumah di negara ini, pro-gram itu bakal memberi impak positif bagi mengurangkan kes penderaan pembantu rumah, selain membantu golongan berkenaan memahami tanggungjawab mereka kepada majikan. 

Katanya, pada masa ini 216,000 majikan menggunakan khidmat pembantu rumah secara sah di negara ini dan pelaksanaan kursus wajib itu bermula akhir Mac ini khusus untuk pengambilan pembantu rumah baru.

"Kursus wajib ini bukan menjatuhkan moral majikan di negara ini, tetapi ia sebagai penjelasan terhadap tanggungjawab masing-masing kerana ada majikan menyalahgunakan khidmat pembantu rumah melangkaui apa yang terkandung dalam perjanjian.

"Contohnya, pembantu rumah diarah mencuci kereta majikan sedangkan ia bukan tugas mereka, selain majikan membawa pembantu rumah ke premis perniagaan mereka dan bekerja di situ," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini berkata, kursus khas yang diwajibkan kepada majikan dan pembantu rumah bermula bulan depan itu bertujuan mendedahkan mereka dengan tanggungjawab masing-masing serta dibekalkan Buku Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing.

Alwi berkata, Papa juga sudah mengemukakan permohonan kepada kementerian supaya menawarkan agensi itu menjalankan kursus berkenaan di seluruh negara.

"Kita yakin, apabila majikan dan pembantu rumah mengetahui tanggungjawab mereka, tiada lagi kes penyalahgunaan membabitkan khidmat warga asing berlaku di negara ini.

"Levi pembantu rumah hanya RM360 setahun berbanding RM1,800 levi dikenakan jika mengambil warga asing bekerja di sektor perkhidmatan. Jadi, majikan cuba mengeksploitasi khidmat pembantu rumah itu bagi mengaut keuntungan," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...