Tuesday, February 23, 2010

Majikan buka pusat asuhan diberi insentif

Majikan buka pusat asuhan diberi insentif



MAZNAH (dua dari kanan) bersama (dari kiri) Gruber, Mohd Sabri dan Westerhausen melayan keletah kanak-kanak Taska Elektrisola ketika menghadiri majlis ramah mesra dengan warga taska itu, di Janda Baik, semalam.
BENTONG: Kementerian Sumber Manusia bercadang untuk memberi insentif dan geran pembiayaan kepada majikan yang komited menubuhkan Pusat Asuhan Kanak-kanak (PAKK) di syarikat masing-masing.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan, berkata pekerja pula diberikan pengurangan cukai pendapatan sebanyak dua kali ganda bagi membantu meringankan beban mereka yang menghantar anak ke pusat asuhan itu.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Persatuan Majikan Malaysia (MEF) dalam usaha merealisasikan penubuhan PAKK itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Taska Elektrisola (M) Sdn Bhd, Janda Baik, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Jerman, Dr Gunter Gruber; Pengarah Urusan Elektrisola (M) Sdn Bhd, Thilo J Westerhausen dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Mohd Sabri Karmani. 

Maznah berkata, berdasarkan statistik kementerian itu, sebanyak 93 PAKK ditubuhkan di sektor swasta sejak 1992, bagaimanapun hanya 16 pusat terus beroperasi berikutan ketiadaan insentif dan bantuan lain.

Sehingga kini, katanya, kerajaan sudah memperuntukkan RM3.45 juta bagi pembelian peralatan permainan dan juga pembelajaran khususnya PAKK dalam sektor peladangan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Sementara itu, di KLANG, Maznah berkata, kementerian akan menaik taraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ke tahap Doktor Falsafah (PhD) bagi memadam stigma masyarakat yang menganggap kemahiran sebagai pilihan kelas kedua berbanding bidang akademik lain di bawah kementerian itu, tidak lama lagi.

Katanya, proses menaik taraf itu bagaimanapun perlu melalui banyak proses seperti mendapatkan peralatan kemahiran yang lengkap dan tenaga pengajar bertauliah. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...