Tuesday, February 2, 2010

Lambakan Warga Asing - Portal iKDN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TPM) telah mengarahkan KDN agar mengambil tindakan tegas dalam menangani isu lambakan warga asing. Tindakan itu juga wajar dalam keadaan segera. Arahan dan harapan TPM itu disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada kumpulan wartawan ketika sidang akhbar di KDN pada 27 Januari.

"YAB TPM mahu setiap warga asing yang memasuki negara ini secara sah dalam apa jua kapasiti dipantau sehinggalah mereka meninggalkan negara ini," ulasnya. Menurut MDN itu lagi TPM juga menyarankan agar KDN memantapkan lagi mekanisma pemantauan dan gerakan penguatkuasaan perlu dimantapkan untuk menghalang dan mengusir warga asing yang berada di negara ini secara haram.

Sebelum itu TPM telah diberi taklimat berhubung isu warga asing. Taklimat pada 19 Januari itu meliputi gambaran keseluruhan kategori warga asing yang berada di negara ini dan prosidur kemasukan yang digunapakai. Selain itu turut disentuh ialah agensi-agensi kerajaan yang terlibat memproses kemasukan tersebut.

"Selain itu taklimat berkenaan juga membentangkan cadangan gerak kerja KDN dalam menangani isu lambakan warga asing yang tidak mempunyai status semasa yang sah mengikut undang-undang negara," katanya.

Secara keseluruhannya terdapat 13 kategori warga asing yang terdapat di Malaysia. Sementara itu lebih dari 20 kementerian dan agensi terlibat dalam proses kemasukan dan pemantauan warga asing. - Portal iKDN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...