Friday, February 12, 2010

Kerajaan mansuh VOA untuk rakyat India

KUALA LUMPUR: Kerajaan memansuhkan visa waktu ketibaan (VOA) untuk rakyat India memasuki negara ini, selepas kehilangan 40,000 warga negara itu sebelum ini apabila VOA mereka tamat tempoh.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata Afghanistan, Pakistan dan Sri Lanka antara negara yang turut dimansuhkan VOA atas dasar keselamatan.

Tanpa mendedahkan bila tindakan itu akan dilaksanakan, beliau berkata ia sejajar dengan usaha menangani masalah penyalahgunaan visa berkenaan dikalangan rakyat negara yang diberikan kemudahan itu.

Selepas kita memansuhkan VOA mereka boleh memasuki negara ini menggunakan visa, katanya yang ditemui selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan kawasan sekitar itu di sini, semalam.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan 39,046 rakyat India hilang di negara ini selepas VOA mereka tamat tempoh dan ia isu yang membimbangkan negara.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan tahap keselamatan terutama di pintu masuk negara menjelang sambutan Tahun Baru Cina, bagi mengekang sebarang kegiatan jenayah.
Kita akan menambah bilangan anggota keselamatan di pintu masuk negara kerana menjelang musim perayaan jenayah akan meningkat, namun sehingga kini kita berjaya mengurangkan kadar jenayah terutama di kawasan hotspot hasil maklumat orang awam.

Melalui Rakan Cops juga, dari 2004 hingga 2009 lebih satu juta maklumat disalurkan orang ramai dan ini dapat membantu pihak berkuasa, katanya.

Ditanya mengenai warga negara Iran yang dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan dadah, beliau berkata, kerajaan memerangi kegiatan itu tanpa mengira warga negara. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...