Tuesday, February 23, 2010

Kerajaan beri jaminan kursus majikan, pembantu rumah tidak diswastakan


NIBONG TEBAL, 23 Feb (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata kursus penyesuaian diri bagi majikan dan pembantu rumah warga asing akan dikendalikan oleh Jabatan Tenaga Kerja dan bukannya oleh pihak swasta.

"Kursus penyesuaian diri ini penting bagi majikan, pembantu rumah warga asing dan juga agen," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai di sini Selasa.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah melahirkan kebimbangan bahawa jika kursus itu dikendalikan oleh pihak swasta, ia boleh membebankan pekerja.

Mulai bulan depan semua majikan dan pembantu rumah warga asing diwajibkan menghadiri kursus separuh hari yang bertujuan meningkatkan perhubungan dan persefahaman antara majikan dan pekerja.

Subramaniam berkata kerajaan tidak boleh menetapkan gaji minimum bagi pembantu rumah warga asing kerana bayaran gaji dibuat mengikut pasaran.

"Kita telah membuat keputusan supaya pasaran yang tentukan gaji setiap pekerja. Kebanyakan gaji yang dibayar antara RM500 dan RM600 ikut pasaran," katanya.

Beliau berkata setakat ini tidak ada apa-apa perjanjian persefahaman ditandatangani dengan negara sumber bagi menetapkan bayaran gaji minimum untuk pekerja.

"Kita ada 12 negara sumber, jika ada bayaran gaji tertentu yang ditetapkan ia akan menimbulkan masalah, kita perlu berhati-hati dalam perkara ini," katanya.

Subramaniam juga berkata rombakan silibus Institut Latihan Perindustrian akan dimulakan pada Rancangan Malaysia Ke-11 dan akan memberi tumpuan utama kepada sektor perkhidmatan.

"Jika dahulu latihan banyak dilakukan untuk bidang pembuatan tetapi dalam model ekonomi yang baru ini tumpuan akan diberikan dalam bidang perkhidmatan untuk melahirkan ramai pekerja mahir yang setaraf dengan pekerja di peringkat antarabangsa," katanya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...