Tuesday, February 9, 2010

Kemantian Muntik akibat pukulan, jangkitan kuman

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kematian pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani pada Oktober 2009 disebabkan kecederaan belakang kesan pukulan benda tumpul dengan jangkitan kuman daripada ulser di kaki kanannya.

Dr Norliza Ibrahim, 34, Pakar Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang hari ini berkata terdapat beberapa komplikasi apabila mangsa mengalami patah tulang belakang.



Beliau yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Muntik pada 26 Oktober 2009 mendapati si mati mengalami kecederaan pada saraf tunjangnya yang menyebabkan beliau lumpuh dari paras tulang belakang dada yang ke-12 ke bawah (hujung kaki).

"Seseorang yang lumpuh akan mengalami beberapa komplikasi akibat kecederaan itu antara lainnya termasuk wujudnya tekanan ulser yang boleh menyebabkan keradangan pada kaki kanan si mati dan jangkitan, luka lambat sembuh, menyebabkan masalah peredaran darah seperti yang dialami oleh si mati. Ini semua boleh menyebabkan kematiannya," katanya yang juga saksi pendakwaan yang ke-36.

Dr Norliza berkata demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwaraya Idham Abdul Ghani semasa perbicaraan kes penjual air tebu, A Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Dr Norliza berkata, luka yang tidak dirawat seperti ulser di kaki kanan si mati akan sukar sembuh kerana kecederaan saraf tunjang yang dialaminya mengakibatkan mangsa mendapat jangkitan kuman yang menyeluruh dan keradangan yang akhirnya menyebabkan kegagalan keseluruhan organnya serta membawa kematiannya.

Menjawab soalan Idham mengenai peluang Muntik untuk hidup dengan kecederaan yang dialaminya, Dr Norliza berkata peluang Muntik untuk hidup adalah tipis kerana telah wujud komplikasi akibat kecederaan yang dialaminya seperti lumpuh, jangkitan kuman, usus kecil yang telah mati dan masalah pendarahan.

Hasil pemeriksaan dalaman organ si mati, beliau berkata tulang belakang dada ke-12 Muntik patah remuk manakala tulang rusuk kanan kelima, ke-11 dan ke-12 patah, begitu juga tulang rusuk kiri kedua dan ketujuh serta tulang belakang pinggang pertama dan kedua.
Dr Norliza berkata, tulang belikat kanan dan tulang pergelangan tangan kanan juga patah sementara terdapat juga cecair bercampur darah di dalam rongga dada kanan dan kiri manakala paru-parunya bengkak dan berair.

Ditanya mengenai kesimpulan hasil pemeriksaannya itu, beliau berkata: "Si mati telah mengalami kecederaan berulang-ulang kali yang mempunyai darjah kecederaan yang berbeza keterukannya disebabkan kepelbagaian daya hentakan oleh benda tumpul dan keras."

Mengenai tempoh kecederaan atau umur kecederaan yang dialami Muntik, beliau berkata kecederaan yang dialami mangsa mempunyai umur kecederaan yang berbeza, contohnya lebam dan kulit melepoh yang diperhatikan semasa bedah siasat mungkin baru terjadi dalam tempoh tiga hari sebelum kematiannya berikutan komplikasi kecederaan yang dialaminya.

Bagaimanapun, beliau berkata lebam pada sekeliling mata, bahagian paha kanan berumur antara beberapa hari sehingga satu atau dua minggu.

"Kecederaan pada tulang belakang dianggarkan telah berlaku di antara satu sehingga dua minggu dan disokong dengan pemeriksaan kecederaan pada saraf tunjang yang dianggarkan berlaku di antara beberapa hari hingga seminggu. Luka pada kaki kanan adalah luka lama yang lebih 48 jam," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...