Friday, February 12, 2010

Industri logam perlukan 15,000 pekerja asing baru

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 peniaga India seluruh negara yang terbabit dalam perniagaan logam berkemungkinan 'gulung tikar' kerana mereka kini berhadapan krisis kekurangan tenaga buruh.

Presiden Persatuan Peniaga dan Kitar Semula Logam India (Mimta), Datuk P Krishnamurthy, berkata bagi kembali memajukan industri itu, sekurang-kurangnya 15,000 pekerja asing baru terutama daripada Tamil Nadu diperlukan segera.

"Kita sudah banyak kali memohon kepada Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan khidmat tenaga tempatan namun rakyat tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor ini.

"Ada yang datang bekerja satu hari, selepas itu terus 'hilang'... ada pula yang datang kerja selama dua hari dan paling lama mereka bekerja pun untuk tempoh seminggu saja.

"Ini kerana rakyat tempatan melihat perniagaan ini sebagai satu tugas berat dan kotor. Persatuan akui bahawa tugas ini memang mencabar walaupun gaji yang ditawarkan adalah sekitar RM800 hingga RM1,200.

"Bagaimanapun katanya, kebanyakan rakyat tempatan bekerja dalam bahagian pengurusan dengan segelintir lagi bertugas sebagai memandu lori. Kita dapati tenaga buruh dari Tamil Nadu amat sesuai bekerja sebagai pekerja am sektor ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Krishnamurthy berkata, sektor itu mula menghadapi kekurangan tenaga buruh secara berperingkat bermula tahun lalu apabila kerajaan tidak meluluskan permohonan baru pekerja asing. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...