Saturday, February 13, 2010

GTP sasar penurunan 20 peratus jenayah jalanan

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Sasaran pengurangan kadar jenayah jalanan yang ditetapkan kerajaan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya mencapai prestasi awal menggalakkan apabila merekodkan penurunan 13 peratus kes jenayah itu bulan lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, angka tersebut diperoleh pada Januari lalu berbanding bulan sebelumnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan kadar jenayah jalanan yang dilaporkan dalam suku keempat tahun lalu mencatat penurunan sebanyak 7.6 peratus.

"Bagi indeks jenayah pula, sebanyak 3.7 peratus penurunan dicatatkan dalam suku terakhir (Disember) 2009," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pengurangan jenayah adalah penting dalam rancangan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

"Jenayah dan perasaan takut terhadap jenayah mempengaruhi kualiti hidup rakyat dan melibatkan kesan yang sungguh memudaratkan.

"Oleh itu, kami (KDN) amat kagum dengan keputusan awal ini," katanya.

Tambah Hishammuddin, oleh kerana jenayah jalanan merupakan tumpuan utama, kerajaan menyasarkan keberhasilan yang lebih cepat iaitu pengurangan sebanyak 20 peratus dalam jenayah jalanan yang dilapor menjelang Disember 2010.

Katanya, inisiatif yang dikuatkuasakan antaranya memastikan kehadiran polis di 50 kawasan panas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau memberitahu, kehadiran anggota polis itu turut dibantu oleh 3,000 sukarelawan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Kita turut meletakkan 500 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas ini untuk menghalang aktiviti jenayah, membolehkan tindakan segera daripada pihak polis selain memudahkan pengecaman suspek," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan negara, pegawai-pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan ke atas bersama anggota polis lain terlibat secara langsung dalam rondaan di tempat-tempat awam.

Katanya, pegawai-pegawai kanan polis itu akan bertugas selama tiga hingga lima jam dalam seminggu.

"Kehadiran anggota polis berhenti dan berbual bersama orang awam selama 10 hingga 15 minit setiap jam ketika rondaan biasa akan memberi peluang untuk masyarakat meluahkan kebimbangan mereka selain merapatkan hubungan," katanya.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan akan menggalakkan semangat sukarelawan melalui inisiatif Skim Rondaan Sukarela (SRS) seperti rondaan yang dilakukan sendiri oleh penduduk tempatan di kawasan tempat tinggal mereka.

Beliau berkata, sukarelawan itu boleh mendaftar sebagai ahli Rakan Cop dan menyalurkan maklumat jika berlaku sesuatu jenayah. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...