Friday, February 12, 2010

Gaji minimum: Kemampuan majikan Malaysia, kualiti tenaga asing dikaji

JAKARTA 11 Feb. - Kajian perlu dilakukan terlebih dahulu berhubung tahap kemampuan majikan di Malaysia sebelum menetapkan gaji minimum RM800 sebulan bagi rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syeh Hassan berkata, kajian itu penting untuk memastikan adakah majikan di Malaysia bersedia dan mampu membayar gaji sebanyak itu.

Pada masa sama, ujar beliau, aspek kualiti tenaga kerja yang dihantar ke Malaysia juga perlu diberi perhatian sebelum keputusan dibuat.

"Dalam melindungi pekerja, kita juga harus lihat kepentingan majikan, apakah majikan itu berupaya membayar sebanyak itu kerana mereka adalah golongan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), Taufiq Kiemas di Dewan MPR di sini hari ini.

Menurut Syed Munshe Afdzaruddin, beliau membangkitkan perkara itu dan Taufiq berjanji memberi perhatian terhadap isu tersebut.

Selasa lalu Jakarta Post memetik Ketua Pengarah Kementerian Luar Indonesia, Arief Havas Oegroseno bahawa Malaysia bersetuju secara prinsip terhadap cadangan Indonesia melindungi pekerjanya di Malaysia.

Laporan itu turut memetik Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar bahawa kedua-dua negara sedang berbincang tentang gaji minimum RM800 sebulan seperti yang dicadangkan Indonesia.

Jakarta sebelum ini menghentikan sementara penghantaran tenaga kerjanya ke Malaysia sehingga isu-isu berhubung masalah tenaga kerja dari negara berkenaan diselesaikan.

Dalam pertemuan itu, Syed Munshe Afdzaruddin berkata, beliau turut menarik perhatian tentang laporan berat sebelah media massa Indonesia tentang kes penderaan tenaga kerja negara berkenaan di Malaysia.

"Kes-kes penderaan itu adalah terpencil dan rakyat Malaysia yang terlibat telah dijatuhi hukuman setimpal.

"Tetapi media Indonesia hanya melaporkan secara berat sebelah iaitu hanya tentang penderaan tanpa disusuli tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa di Malaysia," katanya.

Kata beliau, kedua-dua pihak perlu mengkaji sistem penghantaran tenaga kerja yang sedia ada supaya ia teratur dari segi pihak yang harus bertanggungjawab menguruskannya serta kos sebenar yang terbabit supaya ia tidak menjejaskan imej dan hubungan kedua-dua negara. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...