Friday, February 26, 2010

Fungsi Rela diperluas jaga sempadan

PUTRAJAYA: Fungsi Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Malaysia akan diperluaskan bukan hanya bertanggungjawab menahan pendatang asing tanpa izin, malah turut diberi peranan lebih mencabar termasuk mengawal perairan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz, berkata pihaknya mahu memperluaskan peranan Rela bagi membantu membanteras jenayah.
Bukan itu saja, beliau berkata, jika dibenarkan, pihaknya mahu tenaga Rela diguna dan diperluaskan bagi menjaga sempadan darat negara.

“Kita mampunyai hasrat bagi memperluaskan peranan Rela termasuk bagi mengawal sempadan negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Pendekatan ini mampu membantu pihak berkuasa mengawal sempadan negara termasuk menangani kegiatan penyeludupan manusia dan balak terutama di Sabah dan Sarawak yang memiliki sempadan darat yang luas,” katanya ketika mempengerusikan sesi diskusi antara media dengan KDN, di sini, semalam.

Mengulas lanjut isu itu, Ahmad Fuad berkata, pihaknya mahu menggunakan konsep ‘Border Scout’ (Pengakap Sempadan) di Sarawak yang menggunakan penduduk tempatan seperti kaum Iban dan Murut bagi menjaga kawasan sempadan darat kerana mereka lebih mengetahui selok belok kawasan berkenaan.


“Jadi, kita harap boleh mengambil ahli Rela di kalangan penduduk tempatan sendiri,” katanya.

“Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat perbincangan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan beberapa agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Apa yang pasti, Ahmad Fuad berkata, pihaknya masih berbincang di peringkat pegawai yang dipengerusikannya bagi melihat boleh membabitkan anggota Rela bagi membantu mengawal keselamatan negara di sempadan darat. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...