Wednesday, February 17, 2010

Doktor sukar fahami pertuturan Muntik

SHAH ALAM: Seorang doktor memberitahu perbicaraan kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia Muntik Bani di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa beliau sukar memahami bahasa pertuturan Muntik semasa mencatitkan pengakuan pembantu rumah itu bahawa dia didera oleh majikan lelakinya.

Pegawai Perubatan Siswazah Dr Urscilla Jaya, 27, yang bertugas di Jabatan Ortopedik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) berkata, penyelianya, Dr M Shujatha terpaksa mengulangi soalan kepada Muntik kerana sukar memahami apa yang dituturkan walaupun pembantu rumah itu menggunakan Bahasa Melayu.

"Bila ditanyakan soalan, pesakit (Muntik) juga mengalami kesukaran untuk memahami soalan kami, jadi kami terpaksa ulangi soalan untuk mendapatkan jawapan daripadanya," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes penjual air tebu, A Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

A Murugan, 35, dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada mereka memperolehi jawapan selepas mengulangi soalan kepada Muntik, Dr Urscilla menjawab:“Ya”.

“Saya dengar Muntik beritahu Dr Shujatha bahawa dia dipukul berulang kali oleh majikan lelakinya dengan penyapu dan kayu, dia ditendang dan ditumbuk di bahagian muka, perut dan belakang. Dia juga beritahu bahawa dia dipukul dengan rod besi dan disimbah dengan air panas selain beritahu bahawa majikan lelakinya juga membotakkannya serta dikunci dalam tandas selama dua hari tanpa makanan.

“Dr Shujatha juga ada tanya sama ada dia dirogol oleh majikannya tetapi pesakit (Muntik) menjawab tidak. Saya mencatitkan semua keterangannya dalam nota perubatan sebelum Dr Shujatha kemudian menyemak nota saya sepintas lalu,” katanya.

Saksi ke-43 pendakwaan itu berkata, beliau berada berdekatan dengan Muntik ketika pembantu rumah itu menceritakan mengenai perkara berkenaan kepada Dr Shujatha dan mengakui bahawa pendengarannya jelas ketika mencatitkan pengakuan Muntik dalam nota perubatan.

Dr Urscilla, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan cadangan peguambela tertuduh, V Rajehgopal bahawa segala keterangannya di mahkamah berhubung pengakuan Muntik adalah keterangan yang ditokok tambah.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...