Wednesday, February 10, 2010

Doktor HTAR Saksi Keempat Dengar Pengakuan Muntik Dipukul Majikan

SHAH ALAM, 10 Feb (Bernama) -- Seorang doktor pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani yang meninggal dunia akibat didera memberitahu beliau bahawa dia telah dipukul berulang kali dengan kayu, ditumbuk dan ditendang di bahagian perut, belakang serta muka oleh majikan lelakinya.

Dr M.Shujatha, 33, berkata Muntik memberitahu perkara itu ketika beliau merawat mangsa di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 20 Okt tahun lepas.

"Muntik memberitahu saya dia tinggal dengan majikan baru itu selama dua bulan dan telah dibotakkan oleh majikan lelakinya. Dia juga mengatakan bahawa majikan lelakinya telah memukul kakinya dengan besi dan disimbah air panas.

"Selain itu, dia mengatakan bahawa dia telah dikurung dalam tandas dan tidak makan selama dua hari. Saya juga ada tanya adakah dia dirogol oleh majikan lelaki dan dia beritahu tidak," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokthar pada perbicaraan kes penjual air tebu, A. Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Okt lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Shujatha merupakan saksi pendakwaan keempat yang mengesahkan bahawa Muntik ada membuat pengakuan bahawa dia telah dipukul oleh majikannya.

Sebelum ini, peguam Gerard Lazarus dan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azan Radzali dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang dalam keterangan mereka memberitahu mahkamah bahawa Muntik pernah mengadu bahawa dia telah dipukul oleh majikannya semasa mereka melawat mangsa yang menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAR pada 21 Okt lepas.

Selain itu, Penolong Pegawai Perubatan HTAR, Muhamad Sahid Abdul Karim dalam keterangannya sebelum ini juga memberitahu mahkamah bahawa Muntik ada membuat pengakuan yang sama semasa mangsa dibawa ke HTAR dengan menaiki ambulans.

Ditanya Mohd Dusuki bagaimana keadaan Muntik semasa menceritakan perkara itu kepada beliau, Shujatha berkata mangsa sedar dengan keadaan sekelilingnya dan boleh menjawab soalan dengan baik.

Terdahulu, saksi ke-39 pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pakar kecemasan Dr Che Ros Abdullah telah memeriksa dan merawat Muntik yang dibawa dengan ambulans dalam keadaan tenat di wad kecemasan HTAR pada pukul 8.40 malam, 20 Okt lepas.

"Keadaan pesakit (Muntik) pada masa itu masih sedar pada keadaan sekelilingnya dan boleh menjawab soalan dengan baik tetapi berada dalam keadaan lemah dan dehidrasi. Kedua-dua belah kakinya tidak boleh digerak dan tidak dirasa oleh pesakit berkemungkinan berpunca dari kecederaan di bahagian tulang belakangnya.

"Pesakit (Muntik) mengalami lebam di kedua-dua matanya, mata kiri tidak boleh dibuka dan mata kanan dalam keadaan bengkak masih boleh dibuka sedikit, lebam di seluruh tangan kiri, bahagian atas tangan kanan, di bahagian tepi kanan lutut kanan, tengah lutut kiri, di tapak kaki kiri, di bahagian punggung dan tepi peha kanan. Mangsa juga mengalami luka di siku kanan, luka terbuka di lutut kanan dan kaki kanan yang juga bernanah dan terdapat tisu mati," katanya.

Shujatha berkata beliau memberikan rawatan seperti bantuan oksigen dan memberi ubat tahan sakit selain menjalankan ujian x-ray ke atas tulang belakang, tangan dan kaki, dada, pelvis serta kepala mangsa.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung pada Khamis. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...