Tuesday, February 16, 2010

Buruh asing mati dikelar


KUALA LUMPUR – Seorang buruh warga Indonesia ditemui mati dikelar di leher dan perut terburai dalam kejadian di tingkat 4, bangunan pembinaan pangsapuri 19 tingkat di Batu Muda, Sentul di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pihaknya dimaklumkan oleh beberapa pekerja di tapak pembinaan berhubung penemuan mayat mangsa, Mat Aspaim, 33, dalam stor tingkat terbabit.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal, mendapati kejadian berlaku dipercayai dalam tempoh empat jam sebelum mayat yang masih lengkap berpakaian itu ditemui.

“Pemeriksaan ke atas mayat menunjukkan mangsa mati kerana cedera parah akibat dikelar dengan senjata tajam di perut dan leher.

“Selain itu, polis turut menjumpai sebilah pisau pemotong sayur berhampiran mayat dipercayai senjata yang digunakan suspek untuk mencederakan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zakaria berkata, pihaknya sudah memperoleh maklumat berhubung suspek yang terbabit dalam kejadian, disyaki rakan sekerja kepada mangsa.

“Polis percaya mangsa dan suspek saling mengenali selain motif awal dikenal pasti, akibat perbalahan kerana mangsa dipercayai kerap mengganggu isteri suspek,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang giat memburu suspek dan isterinya, termasuk beberapa rakan mereka yang turut menghilangkan diri selepas kejadian.

Menurutnya, setakat ini, polis menahan lima pekerja di tapak pembinaan itu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, mayat mangsa berasal dari Jawa timur itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan menjurus mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mangsa sudah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata di Indonesia. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...