Saturday, February 27, 2010

Ancaman warga asing

KUALA LUMPUR: Kehadiran warga asing yang semakin ramai di sekitar kawasan Kampung Pandan di sini, menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan penduduk setempat.

Penduduk mendakwa isu lambakan warga asing bukan sesuatu yang baru di kawasan terbabit dan paling memeranjatkan jumlah mereka bertambah dari tahun ke tahun.
Penduduk, Iqbal Mohsin, 31, berkata kebanjiran warga asing menyebabkan sosioekonomi penduduk tempatan terjejas kerana kebanyakan mereka mempunyai pekerjaan dan perniagaan sendiri.

“Kalau mereka datang dengan permit sah serta bermastautin di negara ini saya tidak begitu kisah, tetapi yang menghairankan bagaimana mereka yang tidak mempunyai permit boleh menjalankan perniagaan.

“Malah, jumlah warga asing yang menetap di sini semakin hari semakin ramai dan kehadiran mereka mengakibatkan penduduk setempat berasa terancam tambahan pula jenayah banyak berlaku membabitkan warga ini,” katanya.

Sementara itu, penjual bunga, T Murugan, 32, berkata disebabkan kebanjiran warga asing yang semakin ramai kadar jenayah juga meningkat.


“Banyak berlaku kes membabitkan jenayah di kalangan mereka ini seperti curi kenderaan, samun serta ragut dan dalam seminggu kes seperti ini akan berlaku tiga ataupun empat kali.

“Selain suka mencuri serta samun, mereka gemar mengganggu anak gadis yang lalu lalang dan lagak warga asing ini juga sudah seperti penduduk tempatan selain menyamar sebagai orang tempatan untuk menutup identiti sebenar mereka,” katanya.

Murugan juga berharap tindakan yang tegas diambil oleh kerajaan kerana tindakan sekarang dilihat kurang berkesan.

Manakala Muhamad Abd Rahman, 28, berkata tindakan yang diambil kerajaan dalam menjalankan operasi besar-besaran menggempur pendatang asing tanpa izin di negara ini adalah wajar sebagai menunjukkan ketegasan. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...