Monday, February 22, 2010

Ambil tindakan tegas terhadap rakyat asing berniaga

PUTRAJAYA 22 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap rakyat asing yang didapati menjalankan perniagaan.

Beliau turut memberi amaran akan mengenakan tindakan terhadap peniaga tempatan yang memajak atau menyewa lesen perniagaan mereka kepada rakyat asing kerana tindakan itu akan menjejaskan sumber pendapatan peniaga tempatan lain.


"Ini kerana ada maklumat yang diterima mengatakan rakyat asing mengambil tempat perniagaan rakyat tempatan di pasar malam, di pasar seperti di Chow Kit dan tempat-tempat lain di seluruh negara.

"Rakyat asing yang datang ke negara ini adalah untuk bekerja bukan berniaga, lebih-lebih lagi kalau mereka itu pendatang asing tanpa izin (PATI) lagilah tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI).

Beliau meminta PBT untuk bekerjasama dengan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan perkara itu dapat dibanteras. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...