Tuesday, February 16, 2010

Amah Indonesia dihadkan

Usaha elak pembantu rumah bekerja dengan majikan bukan Islam

KUALA LUMPUR: Pengambilan pembantu rumah dari Indonesia akan dihadkan secara berperingkat kerana jumlah mereka yang berkhidmat dengan majikan beragama Islam di negara ini sudah mencukupi, kata Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavutty.

Beliau berkata, langkah itu bagi menghentikan amalan pembantu rumah beragama Islam berkhidmat dengan majikan bukan Islam seperti dilaksanakan sekarang kerana ia menimbulkan banyak masalah berikutan berbeza budaya dan agama sehingga berlaku penderaan.

Berikutan itu, katanya, Papa akan menampung kemasukan pembantu rumah dari beberapa negara lain termasuk Timur Leste, Kemboja, Myanmar dan Vietnam bagi memenuhi permintaan majikan bukan Islam.

"Sebenarnya, kita sudah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Indonesia supaya membekalkan hanya pembantu rumah Islam untuk majikan Islam di Malaysia, tetapi mereka mengatakan rakyatnya sanggup bekerja dengan majikan bukan Islam.

"Bagaimanapun, disebabkan timbul banyak masalah, termasuk berlaku kes penderaan membabitkan pembantu rumah, kita mengesyorkan kepada kerajaan supaya melaksanakan peraturan pembantu rumah Islam hanya untuk majikan beragama Islam.

"Perkara itu dipersetujui, tetapi perlu dilakukan secara berperingkat kerana 80 peratus bekalan pembantu rumah sekarang diterima dari republik itu," katanya di sini.

Pada masa ini, lebih 280,000 pembantu rumah berdaftar di negara ini, termasuk kira-kira 10,000 pembantu rumah Kemboja dan kira-kira 5,000 dari Filipina yang berkhidmat dengan majikan bukan Islam di sini.

Alwi berkata, maklum balas diterima pihaknya juga menunjukkan majikan bukan Islam lebih berminat menggunakan pembantu rumah bukan Islam, tetapi pada masa ini, mereka tiada pilihan.

"Kira-kira 160 ahli Papa bersedia memenuhi permintaan majikan terbabit, tetapi pada masa ini, bekalan pembantu rumah tidak mencukupi sehingga perlu bergantung kepada Indonesia sepenuhnya," katanya.

Mengulas usaha membawa masuk pembantu rumah dari India atau Bangladesh, Alwi berkata, amalan di negara itu tidak membenarkan golongan wanitanya bekerja di negara ini, kecuali jika mengikut majikan mereka di India berhijrah ke sini.

Sementara itu, Alwi berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada majikan yang tidak berpuas hati dengan mutu kerja pembantu rumah Indonesia.

"Kita sedar jumlah wanita Islam Kepulauan Solo untuk menjadi pembantu rumah tidak ramai, tetapi kita berusaha meneroka pasaran di situ selepas usaha menarik wanita Islam selatan Thailand datang ke sini dilihat kurang berhasil," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...