Thursday, February 25, 2010

Agensi Malaysia Dan Indonesia Cari Jalan Kurangkan Kos Pengambilan Pekerja

JAKARTA, 25 Feb (Bernama) -- Agensi-agensi pekerja asing Indonesia dan Malaysia sepakat untuk mencari jalan bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja Indonesia ke Malaysia dalam usaha mengurangkan beban kepada pekerja dan majikan.

Kesepakatan ini dicapai dalam satu perjumpaan di Kedutaan Besar Malaysia di sini selepas kedua-dua pihak membentangkan struktur kos bagi pengambilan tenaga kerja Indonesia untuk dihantar ke Malaysia, yang didapati melibatkan perbelanjaan berjumlah RM6,100.

Perjumpaan yang diatur atas inisiatif Kedutaan Besar Malaysia di sini, membabitkan penyertaan 55 orang, yang mewakili Assosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (Apjati), Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (PJTKI), Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) serta agensi-agensi pekerja asing di Indonesia.

Dalam perbincangan yang dipengerusikan oleh Duta Besar Malaysia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan itu, agensi pekerja asing di kedua-dua belah pihak menyatakan kesediaan untuk melihat bagaimana kos itu dapat dikurangkan.

Selain kos tetap yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia dan Malaysia mengikut keperluan undang-undang dan peraturan, kos-kos lain seperti kos latihan dan kos penajaan didapati terlalu tinggi sehingga menyebabkan kos pengambilan pekerja itu menjadi besar.

Usaha menurunkan kos pengambilan pekerja itu dianggap penting kerana kos yang terlalu tinggi akan menyebabkan pembantu rumah terpaksa menanggung potongan gaji yang lebih besar dan akan berlarutan sehingga berbulan-bulan oleh majikan mereka yang perlu menanggung dahulu kos itu.

Sementara itu di pihak majikan di Malaysia pula, mereka juga berasa kurang senang dengan keadaan itu kerana ia sering menjadi punca pembantu rumah lari apabila ada di antara mereka merasakan tertipu kerana terpaksa bekerja tanpa gaji untuk tempoh tertentu.

Ketika ini komponen kos RM6,100 itu terdiri daripada kos di pihak agensi pekerjaaan di Indonesia yang berjumlah RM4,200 manakala RM1,900 merupakan kos di pihak agensi pekerjaan di Malaysia.

Kedua-dua belah pihak turut membincangkan soal gaji minimum dan hak untuk memegang pasport oleh pembantu rumah Indonesia namun tidak ada sebarang cadangan konkrit dicapai berhubung perkara itu.

Pihak Papa menyatakan bahawa di Malaysia tidak ada peraturan mengenai gaji minimum dan gaji untuk pembantu rumah adalah ditentukan oleh kuasa pasaran iaitu berdasarkan kemampuan kewangan majikan selain kemahiran yang dimiliki oleh seseorang pembantu rumah itu.

Indonesia meminta agar Malaysia menetapkan gaji minimum RM800 kepada pembantu rumah Indonesia manakala Malaysia pula mencadangkan hanya RM550.

Syed Munshe Afdzaruddin yang ditemui selepas pertemuan itu berkata, Kedutaan Besar Malaysia hanya bertindak sebagai fasilitator dalam perbincangan itu bagi mencari penyelesaian kepada usaha menyiapkan Memorandum Persefahaman (MoU) baru berhubung pembantu rumah Indonesia.

Indonesia menggantung sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia dan kedua-dua kerajaan sedang berbincang untuk menandatangani MoU baru bagi memperkemaskan kaedah penghantaran dan menjamin perlindungan bagi pekerja dan majikan. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...