Wednesday, February 24, 2010

7 kementerian kongsi tugas

PUTRAJAYA: Peranan tujuh kementerian berkaitan digerakkan bagi menjayakan usaha kerajaan terhadap pemantauan dan pengurusan rakyat warga asing di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pengagihan peranan itu berdasarkan kepada sektor masing-masing.
Beliau berkata, bagi sektor perladangan, ia dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, manakala Kementerian Sumber Manusia diberi peranan terhadap sektor perkhidmatan.

“Tidak ketinggalan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berurusan terus dengan sektor perkilangan dan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bertanggungjawab terhadap sektor pendidikan.

“Selain itu, Kementerian Pelancongan bertanggungjawab terhadap sektor pelancongan, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) berperanan dan bertanggungjawab dalam sektor keselamatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam semua sektor, KDN melaksanakan kaedah terbabit dengan menyediakan tenaga kerja tempatan bagi sub sektor pengawal keselamatan di bawah sektor perkhidmatan.

Malah, katanya, makmal khusus bagi mengkaji pengurusan pengambilan pekerja asing yang diumumkan kelmarin, bakal menarik penyertaan pihak berkepentingan termasuk persatuan perniagaan dan majikan bagi memberi ruang kepada mereka menyumbang fikiran dan cadangan. Menurutnya, ia bagi memastikan agenda penambahbaikan pengurusan dan pemantauan rakyat asing di negara ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin, kelmarin, berkata kerajaan bakal menubuhkan satu makmal khusus bagi meneliti secara keseluruhan isu pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin termasuk kedudukan agensi penyumberan luar yang bertanggungjawab membawa masuk golongan itu ke negara ini.

Makmal berkenaan diterajui KDN yang dijangka mengemukakan laporan dan cadangan kepada kerajaan dalam tempoh antara sebulan dan hingga dua bulan Hishammuddin berkata, KDN pada bulan lalu, memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia bagi memacu kerjasama dalam pengambilan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, makmal itu bakal memberi tumpuan kepada empat isu utama iaitu prosedur kemasukan, perundangan, sistem pemantauan dan penguatkuasaan “Kerajaan sentiasa menghargai peranan warga asing yang berkhidmat secara sah dan turut menyumbang kepada negara serta sentiasa menghormati undang-undang negara,” katanya.

Tanpa berselindung, katanya, apa yang dibimbangi kewujudan trend warga asing yang bukan saja berada di negara ini secara haram, tetapi dilihat mempunyai niat tinggal di negara ini tanpa mematuhi tuntutan undang-undang ditetapkan. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...