Saturday, February 6, 2010

100,000 Permohonan Pekerja Baru Diluluskan

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) - Kerajaan meluluskan permohonan 100,000 pekerja asing baru untuk bekerja di negara ini dalam tempoh lima bulan lepas bagi memenuhi keperluan pelbagai syarikat pembuatan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tetap komited untuk mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini dan langkah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Jumlah pekerja asing di negara ini menurun daripada 2.2 juta kepada kira-kira 1.6 juta sejak awal tahun lepas, katanya kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan semula Q-Performance Consultant Sdn Bhd di sini.

"Kami perlu lakukannya secara beransur-ansur kerana permintaan syarikat untuk mengambil pekerja asing semakin meningkat apabila mereka perlu meningkatkan pengeluaran berikutan pemulihan ekonomi," kata beliau apabila ditanya sama ada sasaran kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

Dr Subramaniam berkata 100,000 permohonan baru itu diluluskan dalam tempoh Oktober tahun lepas hingga bulan ini bagi memenuhi permintaan empat industri -- elektronik, plastik, perabot dan sarung tangan.

Katanya kerajaan meluluskan permohonan itu sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi kekurangan pekerja apabila rakyat tempatan masih tidak berminat menerima tawaran yang dibuat syarikat terbabit.

Bulan lepas, kementerian berkenaan meminta syarikat di negara ini menawarkan gaji lebih tinggi bagi menarik minat rakyat tempatan, tetapi menurut laporan, tidak banyak syarikat yang sanggup berbuat demikian.

Dr Subramaniam berkata kementerian berkenaan bersedia meminda undang-undang tertentu berkaitan guna tenaga, kesatuan sekerja, keselamatan sosial, hubungan industri dan kurikulum serta skop latihan institut latihan industri supaya sejajar dengan model ekonomi baru yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi.

Kementerian itu menetapkan sasaran melahirkan 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 60 peratus tenaga kerja berkemahiran rendah atau tidak berkemahiran yang ada sekarang.

"Daripada 60 peratus ini, antara 10 dan 15 peratus tidak mempunyai sebarang kemahiran. Oleh itu, kami perlu mengkaji semula modul dan struktur latihan kami bagi memastikan lebih banyak rakyat Malaysia dapat dilatih menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa akan datang, katanya.

Beliau berkata pada 1970-an, kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha melatih pekerja bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap tenaga kerja oleh sektor pembuatan, terutama industri elektronik.

"Kini, keadaan itu berubah apabila sektor perkhidmatan pula menjadi fokusnya. Sekarang, kami perlu latih pekerja bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor ini agar kami mampu melahirkan tenaga kerja berpendapatan tinggi, sejajar dengan sasaran model ekonomi baru," katanya.

Dr Subramniam juga berkata Kabinet telah bersetuju pada dasarnya untuk mewujudkan satu mekanisme bagi memberi bantuan kewangan kepada wanita bukan Islam yang dalam proses penceraian dan tidak mendapat nafkah daripada suami masing-masing.

Naib Presiden MIC itu berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberi tanggungjawab merangka mekanisme itu dalam tempoh terdekat.

Minggu lepas, Dr Subramaniam berkata beliau memohon kelulusan Kabinet dan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mendapatkan peruntukan untuk membantu golongan tersebut.

Awal bulan ini, Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta sebagai bayaran nafkah pendahuluan kepada wanita Islam yang bekas suami mereka melanggar perintah mahkamah Syariah dan bayaran itu akan dituntut semula daripada bekas suami terbabit. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...