Saturday, January 9, 2010

Tiga lelaki Indonesia dihukum penjara rompak stesen minyak

KUANTAN 8 Jan. - Baru dua hari memasuki negara ini tetapi sudah berani melakukan rompakan bersenjata.

Bagaimanapun, jenayah yang dilakukan itu mengundang padah apabila warga Indonesia tersebut, Yudi Basmi, 41, bersama dua rakan senegaranya masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini.

Yudi bersama Azman Apendi, 25, dan Heri Hassan, 26, dijatuhi hukuman tersebut selepas mereka mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata di stesen minyak tempat Azman bekerja.

Ketiga-tiga mereka bersama seorang lagi perompak yang masih bebas mengaku melakukan rompakan berkumpulan di premis tersebut di Taman Tas di sini kira-kira pukul 3 pagi, 28 Disember tahun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara berkuatkuasa mulai dari tarikh tangkapan.

Mengikut fakta kes, seorang pekerja stesen minyak itu, Mohd. Fazli Shamsudin yang sedang tidur di dalam premis berkenaan telah didatangi tiga lelaki dengan salah seorang daripada mereka adalah pekerja stesen itu.

Leher mangsa kemudian diletakkan parang sebelum kaki dan tangannya diikat.
Kejadian itu menyebabkan pemilik stesen minyak berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM4,700 sebelum ketiga-tiga tertuduh ditangkap di kawasan berhampiran oleh orang ramai.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman hari ini, ketiga-tiga lelaki itu menitiskan air mata ketika diberi peluang mengemukakan rayuan.

"Saya baru dua hari datang ke sini (Malaysia) untuk mencari rezeki yang halal tetapi telah terpedaya dengan rakan saya. Saya mohon mahkamah ringankan hukuman saya kerana mempunyai tiga anak di Indonesia," rayu Yudi.

Azman dan Heri turut memohon diringankan hukuman kerana mempunyai tanggungan iaitu isteri, anak dan ibu yang sedang uzur. Mereka juga mendakwa terpaksa menjual tanah untuk mendapatkan wang bagi membiayai perjalanan ke negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar pula memohon hukuman setimpal dijatuhkan kerana kesalahan mereka amat serius dan jenayah tersebut semakin berleluasa dilakukan oleh warga asing pada masa kini. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...