Friday, January 15, 2010

Tawaran kerja di restoran mamak

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Jabatan Imigresen mendedahkan penawaran kerja khususnya di restoran mamak dikenal pasti menjadi faktor utama menyumbang puluhan ribu warganegara India 'hilang' di negara ini.

Ini terbukti apabila hampir setiap operasi yang dijalankan oleh jabatan itu di seluruh negara akan menemui pendatang asing tanpa izin (PATI) di kalangan warganegara India di restoran-restoran mamak.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman ketika mendedahkan perkara itu berkata, daripada lapan pekerja warganegara India di restoran mamak, tiga daripadanya tidak memiliki pas kerja yang sah.

"Tindakan majikan mengambil pekerja warga asing tanpa pas kerja sah 'diselitkan' dalam kumpulan pekerja yang memiliki pas kerja sah, dilihat sebagai satu trend yang serius.

"Selagi ada penawaran kerja untuk warga asing dengan cara yang tidak sah ini, masalah warga asing 'hilang' sukar dibendung," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan kerajaan akan mengkaji semula empat aspek utama iaitu prosedur kemasukan, mekanisme pemantauan dan penyediaan sistem maklumat, strategi penguatkuasaan serta semakan perundangan bagi mengelak berulangnya kebanjiran PATI.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bimbang apabila sejumlah 39,046 warganegara India dilaporkan 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Ekoran itu, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta semua pihak supaya tidak mengaitkan persatuan itu dengan isu 39,046 warganegara India 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Menurut Abdul Rahman, isu utama yang sedang ditangani oleh pihak Imigresen adalah kebanyakan warga asing masuk ke negara ini melalui visa waktu ketibaan (VOA) didapati tinggal lebih dari tempoh dibenarkan.

"Kita menyedari terdapat kecenderungan majikan menawarkan kerja kepada golongan ini (warganegara India), oleh itu kita sedang mengambil tindakan sewajarnya.

"Ini termasuk mengadakan operasi dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang menggaji mereka ini," katanya.

Menurutnya, empat warga asing yang disenaraikan sebagai paling ramai tinggal lebih masa di negara ini adalah India diikuti Pakistan, Bangladesh dan China.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk membantu Imigresen dalam operasi-operasi memburu PATI warganegara India yang dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya sentiasa membantu jika diperlukan untuk bersama-sama membendung masalah tersebut.

"Dalam penguatkuasaan, kita juga menjalankan pelbagai serbuan dan menangkap warga asing tanpa dokumen sebelum menyerahkan kepada Imigresen," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...