Friday, January 8, 2010

Susulan kes amah bakar rumah majikan : Suami saya tidak dera

KUALA TERENGGANU: “Demi Allah, saya bersumpah suami tak pernah berbuat begitu (penderaan seksual) terhadapnya kerana kami menganggap dia seperti anak sendiri,” kata Intan Zuhaidah Abdul Wahab, 40, menafikan dakwaan sesetengah pihak mengaitkan tindakan pembantu rumahnya membakar rumah disebabkan berlaku penderaan seksual.

Suri rumah itu berkata, dia terkejut dengan desas-desus mengatakan suaminya melakukan penderaan seksual terhadap pembantu rumah dan tuduhan itu memalukan mereka sekeluarga.

“Saya yakin Allah sentiasa memihak kepada orang yang benar,” katanya. Difahamkan, tindakan suspek membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Telaga Daing, Seberang Takir, kelmarin dan enggan pulang ke Indonesia dipercayai kerana mahu bekerja di salun kecantikan di Singapura serta giat mempelajari bahasa Inggeris dengan anak bongsu mangsa, Izzatul Zafarina, 13, sebagai persiapan ke republik itu.

“Setiap hari dia bertanya bila mahu hantar pulang ke Indonesia kerana merindui ibu angkatnya, tapi saya rasa dia sebenarnya berniat ke Singapura kerana setiap kali melihat iklan peluang kerja di negara itu, dia catatkan dalam buku,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata pembantu rumah itu kini direman empat hari di Balai Polis Kuala Terengganu.

“Kita masih menyiasat usia sebenar pembantu rumah itu dan akan mendapatkan bantuan doktor gigi bagi mengesahkan perkara itu kerana terdapat percanggahan apabila majikan memberitahu baru berusia 14 tahun sedangkan dalam pasport menyatakan dia lahir pada 1987,” katanya.

Sementara itu, wakil Kedutaan Indonesia, Widyarka Ryananta, berkata pihaknya sedang berusaha mendapat kebenaran polis Terengganu untuk bertemu suspek dan menjejaki ejen membawanya masuk ke negara ini.

“Kami percaya pada undang-undang Malaysia dan serahkan kes ini kepada pihak berkuasa negara ini. Bagaimanapun kami akan sediakan peguam untuknya,” katanya.

“Kedutaan Indonesia juga berharap perkara ini tidak berlarutan,” katanya ketika dihubungi, semalam. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...