Saturday, January 23, 2010

Sektor Perladangan Diarah Sedia Perumahan Lebih Selesa Menjelang 2015

ROMPIN, 23 Jan (Bernama) -- Para majikan di sektor perladangan dikehendaki menyediakan perumahan lebih selesa kepada para pekerja sebagai usaha mewujudkan komuniti ladang moden menjelang tahun 2015.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan berkata pekerja sektor itu perlu diberikan tempat tinggal yang mempunyai kemudahan asas dan sosial seperti dewan, pusat asuhan kanak-kanak sebagai memenuhi kebajikan mereka.

Beliau berkata pada masa ini, majikan tidak begitu mengambil berat mengenai kawasan penempatan pekerja sehingga menyebabkan sektor itu kurang diminati rakyat tempatan.

"Sekarang ini masih ada yang tinggal di rumah kongsi, tiada kemudahan elektrik dan mendapat bekalan air tidak bersih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Selendang di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Maznah berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mewujudkan jawatankuasa teknikal bagi mengkaji cadangan kementerian untuk mengiktiraf beberapa skim perjawatan dan skala gaji dalam 55 bidang kemahiran yang menggunapakai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Beliau berkata pengiktirafan itu penting dalam usaha kementerian melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal dan vokasional untuk keperluan sektor kerajaan dan swasta. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...