Saturday, January 9, 2010

Samun: Lima lelaki Vietnam diberkas


IBRAHIM Mohd. Aris menunjukkan pistol kejutan elektrik yang dirampas daripada lima rakyat Vietnam di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 8 Jan. – Polis memberkas lima lelaki warga Vietnam kerana disyaki terbabit dalam kes samun 20 rakan senegara mereka di sebuah asrama pekerja kilang di Taman Nira, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 23 dan 32 tahun.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua daripadanya memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala tiga lagi dipercayai memasuki negara ini secara haram.

Menurutnya, tiga daripada mereka pula diberkas Rabu lalu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Parit Imam di sini, kira-kira pukul 1 pagi.

“Beberapa alat untuk merompak termasuk sepucuk pistol renjatan elektrik, sebilah pisau bersarung, sebuah mesin canai, sebatang kuku kambing, sebuah tukul, tiga batang pemutar skru dan dua playar ditemui daripada mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lagi lelaki terbabit diberkas selepas menjalani kawad cam yang dilakukan polis pada Khamis lalu.

Menurut beliau, semua suspek masih ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah hingga 11 Januari ini.

Sebelum ini, menurutnya, sekumpulan lima lelaki bersenjatakan pisau dan parang telah menyerbu masuk sebuah asrama pekerja wanita warga vietnam di Taman Nira, di sini, pada 9 November lalu, kira-kira pukul 11 malam. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...