Friday, January 8, 2010

Rumah orang tua diduduki pendatang


Rumah Orang Tua Islam Tidak Berwaris Kampung Chikus, Sungai Manik, Perak yang didakwa didiami pendatang tanpa izin.

TELUK INTAN 7 Jan. - Sebuah rumah yang sepatutnya menempatkan warga emas tidak berwaris dekat sini, didakwa telah diduduki oleh pendatang asing.

Keadaan itu menimbulkan persoalan di kalangan penduduk setempat berkaitan status dan kedudukan sebenar rumah terbabit.

Lebih membimbangkan, bilangan pendatang asing yang tinggal di rumah berkenaan dilihat semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Difahamkan, Rumah Orang Tua Islam Tidak Berwaris Kampung Chikus, Sungai Manik itu, dibina pada tahun 1990.

Tinjauan Utusan Malaysia ke rumah itu mendapati keadaannya agak uzur selain persekitarannya juga kelihatan tidak terurus.

Menurut Ketua Kampung, Abdul Aziz Mat, rumah wakaf tersebut tidak sepatutnya diduduki oleh warga asing.

''Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyelesaikan segera perkara ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang penduduk, Mohamad Farit, 55, berkata, dia pelik bagaimana rumah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan kepada orang tua termasuk ibu-ibu tunggal yang tidak berwaris kini dimonopoli oleh warga asing.

''Perkara ini tidak wajar berlaku kerana pekerja asing sepatutnya mempunyai rumah yang disediakan oleh majikan mereka. Mengapa rumah orang tua ini yang menjadi sasaran," katanya dalam nada kesal.

Seorang lagi penduduk, Zainol Abu Seman, 41, memberitahu, dia dimaklumkan bahawa rumah tersebut telah disewa oleh pekerja-pekerja asing terbabit.

''Saya tidak setuju sama sekali rumah orang tua itu disewa kepada pekerja warga asing kerana masih ada seorang ibu tunggal yang menginap di situ.

''Jika dibiarkan kerana dibimbangi ia boleh mendatangkan perkara-perkara yang tidak baik," tegasnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...