Wednesday, January 6, 2010

Rakyat asing akan dipantau: Hishammuddin


PUTRAJAYA: Kerajaan akan menambahbaik dan memantapkan pengurusan serta pemantauan terhadap semua kategori rakyat asing di negara ini bagi mengenal pasti sama ada mereka memberi ancaman kepada negara atau tidak, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, kategori membabitkan pelajar, ekspatriat, pekerja asing dan pekerja tanpa izin itu perlu dikenalpasti bagi memastikan sama ada mereka berada di negara ini secara sah, telah tamat tempoh sah atau masuk ke negara ini secara haram.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada program pemutihan dan antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) beliau yang menjadi fokus dan keutamaan kementerian bagi tahun ini.

"Terdapat keperluan bagi kami untuk mengenalpasti jumlah sebenar rakyat asing kerana dari semasa ke semasa, kita dengar kes dan isu sama ada ia membabitkan penuntut, ekspatriat dan pekerja tanpa izin.

"Kita kena kenal pasti kategori bukan sahaja pekerja asing tetapi juga warga asing, perlu lihat di mana mereka berada, status mereka dan bagaimana untuk memastikan jika tidak sah, bagaimana mereka dihantar pulang," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementerian di sini, Hishammuddin berkata jika langkah itu tidak diambil, beliau bimbang keselamatan negara akan terjejas.

Hishammuddin berkata, beliau akan memberi taklimat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 18 Januari ini berhubung perkara itu.

Ditanya sama ada langkah itu akan berakhir dengan penghantaran pulang beramai-ramai, beliau berkata: "Saya tidak rasa begitu. Jika ia masalah yang serius, kita dah dapat rasa sekarang.

"Apa yang kita ingin buat ialah melakukan pembaikan dan usaha awal sebelum ia menjadi masalah besar."

Sementara itu, Hishammuddin berkata keutamaan kementerian pada tahun ini ialah memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian khususnya jenayah dan jenayah jalanan.

Beliau berkata, kementerian berjaya memenuhi tiga KPI bagi tahun lepas iaitu menyelesaikan permohonan tertunggak untuk kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat sijil kelahiran.

"Ia adalah satu perkembangan yang membanggakan apabila permohonan tertunggak itu adalah untuk tempoh 10 tahun, 1997 hingga 2006 dan melibatkan jumlah yang amat besar iaitu 32,927 permohonan kewarganegaraan, 16,812 permohonan permit masuk serta 93,360 permohonan sijil kelahiran.

"Usaha ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja, dan kita telah menetapkan agar pada tahun ini permohonan tertunggak untuk tahun 2007 akan dapat diselesaikan," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...