Saturday, January 23, 2010

Polis rampas lembing tiga mata di rumah tertuduh

SHAH ALAM 22 Jan. - Sebatang lembing besi bermata tiga bengkok adalah antara barang yang ditemui dan dirampas dari rumah seorang penjual air tebu, A. Murugan yang dibicarakan atas tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani.


Cif Inspektor Azman Tubin, 34, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, lembing besi yang juga dikenali sebagai 'salem' itu ditemui di atas rak berhampiran peralatan sembahyang agama Hindu dalam sebuah bilik.

''Sepanjang pengetahuan saya, lembing mata tiga itu adalah satu senjata berbahaya dan bukan peralatan untuk upacara sembahyang bagi penganut agama Hindu,'' katanya.

Pegawai risikan dan operasi, Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd, Dusuki Mokhtar semasa sesi pemeriksaan utama.

Menurut Azman yang merupakan saksi pendakwa ke-15, sebatang penyapu bengkok, seberkas penyapu lidi dan satu getah paip pula ditemui di dapur rumah tersebut.

Beliau bersama tujuh lagi pegawai dan anggota polis yang membuat pemeriksaan ke rumah Murugan pada 26 Oktober 2009 turut menjumpai dua batang kayu berbentuk bulat dan sebatang rotan di luar pagar hadapan rumah tertuduh.

Jelasnya, beliau turut hadir dalam pemeriksaan di rumah tertuduh bagi membantu pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Azan Radzali untuk mendapatkan bukti-bukti yang boleh dikaitkan dengan kecederaan dialami Mantik.

''Murugan yang ketika itu suspek dalam kes tersebut turut hadir untuk menyaksikan pasukan polis membuat pemeriksaan dan rampasan barang-barang kes di rumahnya.

''Pada hari tersebut juga saya dimaklumkan mangsa telah meninggal dunia. Semua barangan itu dirampas kerana Inspektor Azan memberitahu kecederaan yang dialami mangsa adalah disebabkan objek tumpul,'' ujar beliau.

Menurut Azman, kesemua butiran barang yang dirampas dicatat dalam borang geledah dan salinannya diserahkan kepada Murugan untuk ditandatangan.

Katanya lagi, kesemua barangan itu disimpan oleh beliau sebelum diserahkan kepada pemangku Asisten Supritendan (ASP) Ahmad Tarmudi yang kemudiannya mengambil alih siasatan kes itu daripada Mohd. Azan.

Murugan, 35, didakwa membunuh Mantik, 36, di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 26 Oktober tahun lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa bersambung Isnin ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...