Tuesday, January 19, 2010

Pindaan Akta Kerja, Peningkatan PAKK Kurangkan Pekerja Asing

SHAH ALAM: Pindaan kepada peraturan dalam Akta Kerja 1955 dan peningkatan jumlah Pusat Asuhan Kanak-kanak (PAKK) di sektor swasta mampu meningkatkan tenaga kerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan ekonomi negara kepada tenaga kerja asing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata kementeriannya kini dalam proses meminda peraturan di bawah Akta Kerja 1955 sejak tahun lepas dan berharap ia akan dapat dibentangkan di Parlimen dalam tahun ini.

Pada masa ini terdapat lebih 6.5 juta tenaga pekerja berumur antara 15 hingga 64 tahun yang berpotensi untuk diserapkan bagi pasaran tenaga kerja yang terdiri daripada wanita, golongan pelajar termasuk di Institusi Pengajian Tinggi, pesara dan orang kurang upaya.

Pindaan peraturan dalam akta itu akan memberi peluang kepada golongan ini bekerja mengikut kesesuaian masa dan bidang mereka sama ada mengikut shif atau separa waktu selain daripada mendapat perlindungan hak daripada segi upah, kebajikan dan cuti rehat, katanya kepada pemberita semasa lawatan kerjanya ke Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Proton Holdings Bhd di Seksyen 23 di sini hari ini.

Beliau juga berharap lebih ramai lagi majikan daripada sektor swasta yang menyediakan kemudahan PAKK kepada para pekerja mereka supaya lebih ramai lagi tenaga kerja wanita yang tidak dapat menyumbang kepada ekonomi negara pada masa ini kerana keperluan menjaga anak dan rumah tangga mereka dapat berbuat demikian.

Sejak kerajaan memperkenalkan garis panduan bagi penyediaan PAKK di sektor swasta dan industri pada 1992, terdapat 93 buah PAKK didaftarkan dengan kementerian di seluruh negara tetapi kini jumlahnya telah susut kepada hanya 16 buah sahaja, katanya.

Maznah berkata penyediaan PAKK oleh para majikan akan memudahkan kaum wanita bekerja kerana mereka akan dapat bekerja dengan tekun kerana mengetahui anak-anak mereka terjaga dan tambahan pula jika pusat jagaan itu berhampiran pejabat mereka, ini akan memudahkan para ibu menjenguk atau menyusukan anak-anak mereka pada waktu rehat.

"Kita melihat kepada mengoptimumkan tenaga wanita pada masa ini. Kita dapati tenaga wanita dalam pekerjaan lebih 46 peratus jadi di situ kita dapati jika kita dapat tingkatkan tenaga kerja wanita dalam pekerjaan, kita boleh dapat lebih satu juta wanita yang boleh memasuki pasaran pekerjaan," katanya.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia bertanggungjawab bagi menyelia PAKK yang ditubuhkan oleh pihak swasta termasuk di kawasan perindustrian.

Selain itu, kementerian itu juga menyelia 602 PAKK di kawasan perladangan yang menikmati bantuan permainan kanak-kanak berasaskan pendidikan daripada kementerian. - mStar online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...