Tuesday, January 19, 2010

Pelancong, perompak, penipu dan pelacur


DARI Mexico, Guatemala dan Sepanyol, merompak di Terengganu. Sebanyak 39,046 pelancong India lesap, tidak tahu di mana mereka berada. Sebanyak 75,645 yang lain dari pelbagai negara menyalahgunakan visa pelancong. Ini cerita fantastik yang tak masuk akal, tetapi benar terjadi di negara kita.

Menteri Pelancongan, Datuk Dr. Ng Yen Yen dalam sidang akhbar pada 12 Januari 2010 mengumumkan: "Malaysia menduduki tempat kedua selepas Korea Selatan, dalam senarai negara yang melebihi sasaran kemasukan pelancong, tahun lalu."

Senarai ini dikeluarkan oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO). Begitulah hebatnya negara kita menarik pelancong! Dapat nombor dua dalam dunia!


Yen Yen menjelaskan, sasaran 19 juta pelancong dicapai pada bulan Oktober dan dijangka mencecah 23.65 juta pada akhir tahun 2009, walaupun industri pelancongan dunia agak muram dan dijangka menurun. Maka beliau bangga kerana peningkatan itu menunjukkan kementerian melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Apakah tarikan yang begitu hebat sekali membawa pelancong ke negara kita? Jawabnya kerana kita makmur dan 'semua boleh'. Namun bagi saya, angka ini tidak boleh dianggap suatu kejayaan. Ini kerana sebenarnya ramai yang masuk dengan visa pelancong tetapi mereka bukanlah benar-benar mahu melancong, sebaliknya penipu dan penjenayah? Kita tidak seharusnya tertipu oleh angka yang hebat-hebat, meskipun pelancongan dikatakan the country's second largest foreign exchange earner.


Menurut laporan akhbar pada 13 Januari 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan dengan berkata: "Sebanyak 39,046 orang pelancong dari India yang telah tamat tempoh visa, telah 'lesap' dari rekod Jabatan Imigresen. Mereka mungkin pulang ke India atau masih berada di sini, mungkin sedang bekerja di restoran India. Kita tidak tahu di mana mereka berada."

Najib juga menjelaskan, "Antara September 2008 dan September 2009, seramai 75,645 daripada 248,939 warga asing yang diberi visa waktu ketibaan ( VOA ) telah menyalahgunakan visa mereka."

Pelancong penipu ini adalah dari India, Pakistan, Bangladesh, China, Sri Lanka, Myanmar, Nepal, Afghanistan, Bhutan dan Taiwan. Sebenarnya dari awal lagi mereka bukan datang untuk melancong. Pelancong biasanya menyediakan visa sebelum berangkat. Kalau hendak melancong, kita tidak mahu berbaris lama dan membuang masa menghadapi masalah di lapangan terbang.

Keputusan kita memberikan VOA sangatlah tidak bijaksana. Ia dibuat tanpa kajian teliti. Kita terlalu hendakkan ramai pelancong dan tukaran wang asing, sehingga tidak sedar masalah yang akan timbul.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman sendiri mengaku, visa yang diberikan kepada kebanyakan pelancong, menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pelacuran dan pendatang tanpa izin (PATI)". Lagi pun orang yang meminta VOA biasanya pendatang miskin yang mencari jalan mudah untuk masuk ke negara ini.

Angka-angka yang didedahkan oleh Perdana Menteri ini yang keseluruhannya berjumlah 114,691 orang amat mengejutkan. Dan sudah pasti jumlah 'pelancong' yang datang untuk bekerja secara haram, menjadi penipu, perompak, pencuri dan pelacur jauh lebih ramai bertaburan di merata negeri sampai ke pekan-pekan kecil.

Pendedahan Perdana Menteri ini cepat sekali mendapat respons daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Imigresen. Abdul Rahman menghebahkan amaran yang sangat tegas dan keras kepada majikan yang 'menggaji dan melindungi PATI'. Katanya hukuman penjara yang lebih lama dan denda yang lebih tinggi akan dikenakan menurut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.


Kepada para majikan termasuk syarikat multinasional, mereka diberikan tempoh sehingga 15 Februari ini untuk mematuhi arahan tersebut. Kata Abdul Rahman lagi: "Kita akan buru PATI dan warganegara India yang hilang itu di mana-mana sahaja termasuk dalam sektor perkhidmatan."

Betulkah Datuk? Mereka sebenarnya boleh menyelinap ke dalam masyarakat kaum masing-masing.
Rakyat dan akhbar telah lama meluahkan perasaan marah, risau dan benci kepada pendatang yang semakin terlalu ramai dan bermaharajalela di tempat-tempat rehat di sekitar ibu kota. Mereka berniaga dan bekerja secara haram di mana-mana saja. Mereka datang dari seluruh dunia, termasuk dari negara-negara yang sama sekali tidak kita jangka, malah ramai yang tidak tahu di manakah duduknya negara itu. Benarkah ada 'pelancong' dari Guatemala dan Bhutan?

Akhir tahun lalu, setelah beberapa minggu Utusan Malaysia menyiarkan berita dan kemarahan orang ramai mengenai pendatang 'Awang Hitam', barulah ada kenyataan pihak Imigresen akan mengambil tindakan pada awal tahun 2010. Akan tetapi selepas berita itu, kita tidak langsung mendengar berita hasil tindakan tersebut. Maka kita berasa ragu, apakah amaran keras Ketua Pengarah Imigresen kali ini, betul-betul akan ada tindakan atau hanya untuk respons kepada kenyataan Perdana Menteri dan melegakan kemarahan rakyat sahaja. Tindakan terhadap PATI telah banyak kali diumumkan. Tetapi PATI dan pelancong penipu terus bertambah ratusan ribu.

Pelancong biasanya datang dari negara yang rakyatnya hidup senang, bukan dari negara yang rakyatnya hidup menderita, tiada pekerjaan dan tiada cukup makanan. Wajah dan tingkah laku mereka menunjukkan mereka datang untuk mencari wang, bukan membelanjakan wang. Apakah sesudah bertahun-tahun 'pelancong' ini menimbulkan pelbagai masalah dan jenayah, kita masih tidak sedar atau sengaja menutup mata atau kerana ada orang kita yang dapat faedah untuk diri sendiri? Tindakan kita hanya 'hangat-hangat tahi ayam' dan jadi bahan sindiran serta ketawa 'Malaysia Boleh!'

Sementara itu, pada 9 Januari 2010, polis menangkap tiga perompak barang kemas RM900,000 di Kuala Terengganu. Mereka datang dari Sepanyol, Mexico dan Guatemala. Tiga bulan sebelum kejadian itu, tiga lelaki dan seorang wanita iaitu warga asing mencuri tiga beg barang kemas di Kuala Terengganu juga. Hati kecil saya bertanya, "Orang dari Mexico dan Guatemala? Datang merompak di Terengganu?" Sama sekali tak masuk akal, tetapi ia betul berlaku.

Setiap hari di Pejabat Imigresen Putrajaya dan Damansara, tidak pernah kurang daripada 500 orang asing berbaris dan sesak berdiri untuk menguruskan pasport dan visa. Saya berasa aneh dan tertanya-tanya apakah begini juga keadaan di negara-negara lain, termasuk di Korea Selatan yang paling ramai didatangi pelancong?

Banyak berita yang menunjukkan semakin ramai pendatang asing yang masuk-keluar dan bekerja di negara kita ini secara haram. Pihak polis dan agensi rahsia kita tentulah sudah tahu akan adanya sindiket-sindiket yang mengeluarkan bermacam jenis surat, paspot dan visa kepada siapa-siapa saja, dari negara mana saja, untuk keluar-masuk, bekerja dan bergerak bebas di negara kita. Sindiket-sindiket ini nampaknya boleh beroperasi dengan senang hati tanpa gangguan di bandar-bandar besar termasuk di Kuala Lumpur. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...