Wednesday, January 6, 2010

Pelacur sorok dalam peti sejuk


KUALA LUMPUR: Gara-gara terkejut dengan serbuan pihak berkuasa, seorang daripada 16 pelacur nekad bersembunyi dalam peti sejuk yang tidak digunakan di dalam sebuah bilik semata-mata untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, tindakannya itu gagal mengaburi mata lapan anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Kuala Lumpur yang diketuai Superintendan Razali Abu Samah kerana wanita terbabit dikesan selepas pemeriksaan menyeluruh.

Dalam serbuan jam 7.45 malam di Jalan Thambipilly, Brickfields di sini, semalam, pihak berkuasa mendapati kebanyakan pelacur warga tempatan berasal dari Sabah dan Sarawak.

Menurut Razali, kebanyakan wanita yang melacurkan diri mereka berusia 24 dan 34 tahun.

"Ketika serbuan, kebanyakan wanita terbabit bersembunyi dalam bilik masing-masing.

"Hanya seorang daripada mereka bersembunyi dalam peti sejuk yang tidak digunakan namun ditahan kerana kami melakukan pemeriksaan menyeluruh di dua premis yang sudah dikenal pasti," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa hampir satu jam melakukan pemeriksaan di kedua-dua premis terbabit bagi mengelakkan ada yang terlepas.

"Kami juga menahan tujuh lelaki dipercayai pelanggan yang sedang melanggan wanita terbabit. Kami akan menahan mereka untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan pengawasan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pelacuran diminta melaporkan kepada pihak berkuasa dalam memastikan kegiatan tidak bermoral ini dapat ditangani sepenuhnya," katanya. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...