Friday, January 22, 2010

PATI: Contohi sikap rakyat Singapura

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Rakyat negara ini tidak boleh mengambil mudah isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini termasuklah mengambil rakyat asing itu bekerja dengan mereka.

Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Mohd. Jamil Mohd. Hassan berkata, mereka sepatutnya bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membendung kemasukan PATI.

"Seharusnya perlu ada kerjasama antara orang awam dan pihak berkuasa bagi membendung kemasukan PATI. Jika kita lihat warganegara India sahaja, jumlahnya kini hampir 40,000 dan ini memerlukan tanggungjawab bersama antara rakyat dan pihak berkuasa.

"Di Singapura, jika orang awam mengetahui kemasukan PATI ke negara itu, mereka akan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, jika kerjasama itu dapat dilakukan sudah pasti lebih ramai PATI dapat dikesan oleh pihak berkuasa sekali gus membendung kemasukan mereka.

Kelmarin, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pihaknya tetap akan menggerakkan jentera penggempur bulan depan untuk memburu PATI termasuk lebih 30,000 warganegara India yang bekerja secara haram di negara ini.

Mohd. Jamil berkata, PATI yang terdapat di negara ini berada di merata tempat.

"Macam-macam kerja yang mereka lakukan seperti cuci kereta, tukang gunting, buruh kasar dan ada antara mereka yang tidak bekerja," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan membendung kemasukan PATI kerana ada antaranya yang melakukan kegiatan jenayah seperti merompak, meragut dan mengganggu ketenteraman awam.

Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, PATI terutamanya warganegara India yang berada di negara ini sanggup melakukan apa sahaja kerja untuk menyara kehidupan mereka.

"Ada antara mereka bekerja dan ada yang tidak dan hanya berlegar-legar di negara ini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...