Tuesday, January 19, 2010

Muntik mengadu sakit seluruh badan: Saksi


SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani mengadu sakit di keseluruhan badan ketika ditemui di atas lantai tandas rumah majikannya, Oktober tahun lalu.

Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Muhamad Sahid Abdul Karim, berkata wanita itu yang ditemui terbaring dalam kedudukan terlentang dengan dua kakinya terlipat ke belakang badan juga memberitahu bahawa dia dipukul.

"Wanita itu ketika saya lihat berada dalam keadaan sedar, boleh jawab apa yang saya tanya, boleh angkat tangan tetapi tidak dapat gerakkan kaki kerana terlipat dan ketika saya tanya berulang kali siapa yang memukulnya, mangsa cakap dia takut untuk beritahu," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar pada hari kedua perbicaraan kes A Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang antara 18 dan 20 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober lalu selepas gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...