Thursday, January 21, 2010

Muntik Kena Pukul Dengan Besi Dan Batang Penyapu, Kata Pegawai Penyiasat

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani memberitahu beliau bahawa dia telah dipukul di kaki dan tangan oleh majikan lelakinya menggunakan besi dan batang penyapu.

Inspektor Mohd Azan Radzali, 30, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang yang merupakan pegawai penyiasat kes itu berkata Muntik memberitahu beliau perkara itu semasa beliau melawat mangsa yang menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, sehari selepas dia ditemui di dalam tandas rumah majikannya pada 20 Oktober tahun lepas.

"Bila saya nampak keadaan betis kaki kanannya di tengah-tengah ada lubang, saya tanya mangsa siapa buat dan dia kata dia kena pukul 'bapak' dengan besi dan bila saya tanya kenapa tangan kanannya sampai terlipat ke belakang, dia jawab dia kena pukul dengan 'bapak' guna batang penyapu.

"Saya juga tanya berapa lama dia dikurung dalam bilik air dan dia jawab dua hari, dua malam. Saya seterusnya tanya macam mana kamu boleh berada dalam bilik air itu dia kata 'bapak' angkat dia letak dalam bilik air.

Saya juga tanya majikan perempuan ada pukul atau tidak dan dia jawab kakak (majikan perempuan )tidak pukul," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada hari keempat perbicaraan kes A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 dan 20 Oktober tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - mStar online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...