Monday, January 18, 2010

Muntik ditemui terbaring dalam tandas dengan tangan terikat


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani, ditemui di atas lantai tandas rumah majikannya dalam keadaan terbaring, tangan berikat dan kepalanya botak.

Yeni Marianti Sudirman, 30, warganegara Indonesia, berkata beliau menemui Muntik dalam keadaan itu selepas anak lelaki majikan mangsa yang berumur kira-kira tiga tahun menunjukkan ke arah pintu tandas sambil berkata "akak, akak".

"Pintu tandas itu dikunci dari luar menggunakan selak dan selepas saya buka pintu, saya nampak orang itu (Muntik) seperti sedang tidur, tangan diikat dan kepalanya botak.

"Saya nampak dia dari bahagian atas badan sahaja sebab saya tidak buka habis pintu tandas itu kerana saya takut. Masa itu saya tidak cam sama ada dia lelaki atau perempuan," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani, pada hari pertama perbicaraan kes A Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Saksi ketiga pendakwaan itu yang juga jiran Murugan berkata, beliau terus meminta diri daripada isteri tertuduh untuk pulang ke rumahnya dengan memberi alasan bahawa beliau takut suaminya akan marah. 

"Tiba di rumah, saya telefon suami saya tetapi dia suruh tunggu dia pulang. Saya kemudian terjumpa kad perniagaan peguam Gerard Lazarus dan terus hubungi beliau kira-kira jam 3 tetapi dia tidak jawab. Gerard kemudian hubungi saya semula pada jam 5 dan saya maklumkan mengenai kejadian itu kepada beliau.

"Masa itu saya tidak berani hubungi balai polis sebab saya kosong (tiada pasport)," katanya.

Terdahulu, ketika ditanya Idham bagaimana beliau boleh berada di rumah Murugan, Yeni berkata isteri tertuduh sebelum itu telah menjemput beliau ke rumahnya untuk menikmati kuih raya sempena sambutan Deepavali.

Saksi itu berkata, semasa berada di dapur, beliau telah meminta kebenaran daripada isteri tertuduh untuk menggunakan tandasnya dan isteri tertuduh kemudian memaklumkan bahawa hanya satu bilik air boleh digunakan manakala tandas di sebelahnya tidak boleh digunakan kerana rosak.
"Saya ada tanya pada kakak (isteri tertuduh) mana bibik dan dia jawab bibik sudah enam hari dihantar balik ke Indonesia," katanya.

Gerard pula berkata pada hari kejadian (20 Okt 2009) ketika beliau menghubungi Yeni semula, suara wanita itu (Yeni) kedengaran dalam ketakutan ketika memberitahu bahawa dia menemui seorang wanita di dalam tandas sebuah rumah dan ketika ditanya sama ada wanita itu masih bernyawa atau sebaliknya, Yeni memberitahu bahawa dia tidak tahu.

Saksi kedua pendakwaan itu berkata, beliau dan seorang pelajarnya kemudian menemui Yeni di sebuah kedai di Taman Sentosa dan wanita itu kemudian menunjukkan kepada beliau rumah tertuduh.

"Saya kemudian terus buat laporan polis di pondok polis Taman Sentosa dan meminta supaya pelajar saya tunjukkan kepada polis rumah tertuduh sebelum pulang semula ke pejabat saya.

"Tidak lama kemudian pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azan Radzali hubungi saya dan minta saya hadir di balai polis untuk rakam keterangan berikutan polis telah menemui seorang wanita di dalam tandas rumahitu," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Gerard, 41, berkata selepas selesai merakam keterangan, beliau pergi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk melawat Muntik yang dirawat di wad kecemasan dan wanita itu dilihat berada dalam keadaan yang teruk kerana terdapat kecederaan di wajahnya, kepalanya dibotakkan dan terdapat luka besar di kaki kanan selain banyak kecederaan lain di seluruh anggota badannya.

"Ketika saya berdiri di sebelah katilnya, Muntik mengangkat tangan kanannya dan pegang tangan saya serta cium tangan saya dan ucapkan terima kasih kepada saya. Saya kemudian tanya dia siapa buat dan dia jawab tuan yang buat," katanya.

Gerard berkata, kira-kira jam 11.30 malam pada hari kejadian (20 Oktober), seorang lelaki bernama Murugan telah menghubungi beliau memaklumkan bahawa isterinya telah ditangkap polis kerana didakwa mengurung pembantu rumah mereka di dalam tandas dan meminta nasihat beliau mengenai cara untuk membebaskan isterinya.

Saksi itu berkata, melalui perbualan telefon itu, beliau dapat mengenali Murugan kerana pernah mewakili tertuduh dalam satu kes gaduh dua tahun lalu di mana tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu.

Gerard berkata, melalui perbualan telefon itu juga, beliau akhirnya mendapat tahu bahawa Murugan ialah majikan Muntik dan tertuduh memberitahu bahawa dia telah memukul Muntik kerana wanita itu telah memukul anaknya.

"Saya kemudian menasihati Murugan supaya menyerah diri kepada polis serta memberi jaminan bahawa dia hanya akan didakwa kerana menyebabkan kecederaan terhadap Muntik. Murugan kemudian setuju berjumpa dengan saya pada 21 Oktober 2009 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang.

"Di sana Murugan yang datang bersama ibu dan anaknya sekali lagi memaklumkan bahawa dia yang mencederakan pembantu rumahnya dan bukan isterinya. Saya kemudian serahkan dia kepada polis," katanya.

Kepada soalan Mohd Dusuki bagaimana beliau mengenali Yeni, Gerard berkata beliau pernah mengupah Yeni untuk membersihkan rumahnya selepas mengadakan majlis sambutan hari lahirnya.

Turut memberi keterangan pada perbicaraan hari ini ialah anggota polis pertama yang tiba di tempat kejadian iaitu Koperal Yusoff Ahmad yang bertugas dipondok polis Taman Sentosa.

Dalam keterangannya, Yusoff berkata selepas mendapat maklumat bahawa ada orang dipukul atau disorokkan di dalam tandas sebuah rumah, beliau serta empat anggotanya telah pergi ke rumah tertuduh dan ketika tiba di sana, beliau ternampak seorang wanita dan anak lelakinya berada di halaman rumah.

"Selepas saya maklumkan yang saya ingin periksa di dalam rumah, wanita itu benarkan kami masuk dan kami kemudian terus pergi ke dapur.

"Pada masa itu saya terhidu bau seperti nanah semakin kuat dan ketika sampai di tandas yang tertutup, saya cuba buka tetapi tersangkut sebab ada objek yang menghalangnya. Selepas saya buka pintu perlahan-lahan saya temui mangsa terbaring dalam keadaanseparuh bogel hingga ke paras dada.

"Kepala mangsa menghadap ke arah mangkuk tandas dan dua kakinya terlipat kebadan. Saya ternampak separuh payu dara dan kemaluannya. Selepas itu saya minta dia tutup kemaluannya dan kemudian bila saya tanya dia "neng" ke, mangsa macam tersenyum seperti mengiakan bahawa dia warganegara Indonesia.

"Keadaan dia tidak bermaya dan ada terdapat bau busuk seperti bau kudis dan nanah," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...