Wednesday, January 20, 2010

Muntik Berubah Sikap Kerana Lelaki, Kata Bekas Majikan


SHAH ALAM, 20 Jan (Bernama) -- Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani adalah seorang yang baik ketika mula bekerja tetapi berubah sikap selepas beberapa kali dilihat berbual dengan seorang lelaki.

Perunding hartanah, Puah Hooi Sueew, 53, yang merupakan bekas majikan Muntik berkata perubahan itu disedari beberapa bulan sebelum pembantu rumah itu melarikan diri dari rumah beliau di Taman Sentosa, Klang, pada 17 Sept tahun lepas.

"Ketika mula bekerja dengan saya pada 2005, Muntik seorang yang baik dan cepat belajar, tetapi beberapa bulan sebelum September tahun lepas, saya ada beberapa kali ternampak Muntik keluar ke halaman rumah saya dan bercakap dengan seorang lelaki tetapi saya tidak dapat mengecam lelaki itu dan tidak pernah melihatnya di Taman Sentosa (Klang).

"Sejak itu, Muntik berubah menjadi sangat nakal dan dia mula tidak mahu ikut arahan saya dan bila kita tegur dia lawan balik. Pada 17 Sept tahun lepas sebaik saya pulang dari kerja saya dapati Muntik sudah lari dari rumah saya dan dia juga bawa sekali barang-barangnya. Selepas gagal menemui Muntik saya terus membuat laporan polis," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada hari ketiga perbicaraan kes A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau ada bertanyakan Muntik siapa lelaki itu, Puah berkata beliau tidak bertanya kerana memberi kebebasan kepada Muntik untuk berbual dengan sesiapa sahaja.

"Sepanjang Muntik bekerja dengan kamu antara 2005 sehingga 2009 sebelum dia melarikan diri, adakah kamu atau ibu kamu pernah memukul atau mencederakannya?" soal Mohd Dusuki.

"Saya tidak pernah sama sekali. Ibu saya pula sangat uzur, bagaimana dia nak cederakan Muntik? Ibu saya berumur 81 tahun dan menghidap banyak penyakit seperti sakit tulang belakang, kencing manis dan jantung dan dia juga tidak boleh berjalan jauh," jawab Puah.

Menceritakan mengenai keadaan diri Muntik semasa pertama kali datang ke rumahnya, Puah berkata pembantu rumah itu kelihatan kurus dan rambutnya tidak bermaya tetapi selepas bekerja dengan beliau kira-kira empat tahun, mangsa kelihatan semakin sihat dan beratnya juga bertambah.

"Kali terakhir saya lihat Muntik, rambutnya berada pada paras bahu. Sebelum ini Muntik pernah beritahu saya dia mempunyai rambut yang panjang tetapi agen pembantu rumah suruh dia potong rambut. Muntik juga beritahu dia nak simpan rambut panjang sebelum balik ke Indonesia Januari 2010," katanya.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau mempunyai pengetahuan bahawa polis menemui kesan darah milik Muntik pada tilam yang dirampas dari rumahnya, Puah berkata beliau tidak mengetahuinya dan berpendapat kesan darah itu mungkin berpunca daripada tangan Muntik yang terluka ketika bekerja di dapur.

Puah seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan peguam V.Rajehgopal yang mewakili tertuduh bahawa segala penafiannya hanya semata-mata untuk mengelakkan diri beliau daripada didakwa.

Saksi itu juga menafikan beliau ada memukul Muntik menggunakan besi, rotan dan penyapu pada bulan Ramadhan lepas setelah pembantu rumah itu enggan membuat kerja kerana letih berpuasa dan menafikan bahawa Muntik mempunyai bisul di kakinya semasa dia melarikan diri dari rumah beliau.

Terdahulu, pegawai yang bertugas di bahagian pekerja asing, Jabatan Imigresen Putrajaya, Siti Fazlina Mohd Sani, 25, memberitahu mahkamah bahawa pas lawatan kerja sementara yang dipohon oleh majikan Muntik bagi pihak pembantu rumah itu sepatutnya tamat pada 14 Jan lepas, bagaimanapun pas itu terbatal selepas Muntik melarikan diri dari rumah majikannya pada 17 Sept tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung pada Khamis. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...