Monday, January 18, 2010

MPSJ, MAIS serbu pusat urut

SUBANG JAYA 17 Jan. - Berselindung di sebalik khidmat urutan refleksologi dan kesihatan, empat buah premis bijak mengabui mata pihak berkuasa apabila sebenarnya menjalankan urut tubuh dan teman sosial.

Namun kegiatan mereka terbongkar apabila diserbu polis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Hasilnya seramai 11 individu termasuk tiga wanita tempatan dan enam wanita warganegara China ditahan dalam empat serbuan di sekitar Bandar Puteri, Puchong, di sini pada pukul 9 malam tadi.

Menurut Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md. Ikhsan, siasatan mendapati kesemua premis itu telah menyalahgunakan lesen perniagaan yang diluluskan oleh MPSJ.

"Premis itu sepatutnya memberi perkhidmatan refleksologi dan kesihatan tetapi menjalankan perkhidmatan urut seluruh tubuh dan teman sosial.

"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun termasuk dua pelanggan lelaki yang sedang diurut.

"Kami menyita semua premis itu. Salah sebuah premis pernah disita sebelum ini tetapi masih menjalankan perniagaan yang berlainan," katanya di sini semalam.

Tambah Adnan, pihaknya tidak teragak-agak akan membatalkan lesen perniagaan kepada premis yang dilihat masih berdegil dan melanggar syarat.

Jelas beliau, pihaknya akan terus menjalankan serbuan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis seumpama itu. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...