Tuesday, January 19, 2010

Melaka sudah mula gempur PATI

MELAKA 18 Jan. - Jabatan Imigresen mula mengerakkan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negeri ini dalam usaha menangani masalah kebanjiran golongan tersebut.

Pengarah Imigresen Melaka, Mohd. Fauzi Abdullah berkata, pemantauan terhadap golongan PATI mula dilakukan di kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan pendatang asing itu bekerja.

Menurutnya, pemantauan dijalankan secara menyeluruh termasuk di semua kawasan luar bandar yang kedudukannya agak terpencil dan jauh dari pusat bandar.

"Kita sudah mula mengerakkan operasi pemeriksaan PATI di beberapa tempat termasuk tindakan pemantauan terhadap golongan ini bagi menangani isu kebanjiran pendatang asing," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh jabatan itu dalam menangani isu kebanjiran PATI di negara ini.

Selain itu, menurutnya, tindakan pemeriksaan terhadap PATI turut bertumpu di kalangan rakyat India yang dikatakan terlibat dengan kegiatan salah guna visa seperti didedahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Pada masa yang sama, kata Mohd. Fauzi, pihaknya memberi amaran akan mengambil tindakan tegas ke atas majikan yang menggajikan PATI.

"Buat masa ini, tindakan lebih tertumpu kepada pemeriksaan dan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti sasaran PATI," kata beliau.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang didapati mengambil PATI sebagai pekerja akan dikenakan hukuman setimpal bagi memastikan masalah tersebut diselesaikan sepenuhnya pada masa depan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...