Friday, January 8, 2010

Mekanisma Pengurusan Pekerja Penting Dalam Isu Pekerja Indonesia Di Malaysia

JAKARTA, 8 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Dr Marty Natalegawa berkata perkara paling penting yang perlu ditekankan dalam isu berhubung pekerja Indonesia di Malaysia kini banyak merujuk kepada mekanisma pengurusannya.

"Kami sedang bekerjasama dengan kerajaan Malaysia kearah menampilkan satu memorandum persefahaman (MoU) yang berkaitan dengan tanggungjawab dan hak-hak pekerja Indonesia, serta 'mind set' dari perspektif kami yang banyak merujuk kepada hasil menang-menang yang boleh membawa manfaat bersama," katanya.

Beliau berkata pekerja Indonesia memberikan sumbangan penting kepada Malaysia serta pembangunan ekonomi, dan pada masa yang sama Malaysia menjadi negara sumber pendapatan bagi mereka.

"Jadi perlu ada satu perubahan paradigma yang lebih menampilkan suasana menang-menang dan bersifat kurang konfrontasi, dan saya kira kami sedang berusaha ke arah itu. Mudah-mudahan MoU ini akan dapat dihasilkan dengan segera.

"Kedua-dua belah pihak memiliki kepentingan bersama menampilkan mekanisma tepat supaya apa jua halangan yang dihadapi sebelum ini dapat diketepikan nanti apabila mekanisma tepat dapat dihasilkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan persidangan media tahunan di pejabat kementerian di sini pada Jumaat.

Indonesia menghentikan penghantaran pekerja ke Malaysia, terutama kalangan pekerja di sektor informal sejak Jun lepas ekoran beberapa insiden yang melibatkan kes penganiayaan pekerja wanita di Malaysia.

Marty berkata pegawai dari kedua-dua negara sedang membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan upah minimum dan cuti para pekerja, hak-hak mereka untuk membawa surat-surat pengenalan dan tanggungjawab pada negara tuan rumah untuk memaklumkan Kedutaan Besar Indonesia sekiranya seseorang rakyat Indonesia menghadapi sebarang kesulitan.

Terdahulu dalam taklimatnya Marty berkata tahun ini Indonesia akan terus memberi penekanan terhadap diplomasi pelbagai halanya dan akan menyokong peranan yang dimainkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani krisis global, dan pada masa yang sama menggesa kearah pembaharuan.

"Dasar luar kami akan terus meletakkan Indonesia sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada pelbagai cabaran global," kata beliau dan menambah ini antara lain juga bermakna negara akan terus menyokong secara konsisten, kepentingan Palestin serta proses perdamaian yang bertujuan mewujudkan sebuah negara Palestin yang bebas merdeka. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...