Tuesday, January 19, 2010

Majikan ambil PATI akan didakwa

SRI AMAN 18 Jan. - Para peniaga atau majikan di bandar ini diingatkan agar tidak mengambil pekerja asing yang memasuki negara ini secara haram.

Ketua Imigresen Bahagian Sri Aman, Asani Ladjani berkata, majikan yang mengambil pekerja asing tanpa permit kerja sah boleh didakwa di bawah Akta Imigresen dan Peraturan Imigresen 1993.

Sehubungan itu katanya, majikan mesti menyelidik kesahihan dokumen pekerja asing walaupun menggunakan ejen untuk memastikan prosesnya dilakukan secara sah atau sebaliknya.

"Kadangkala majikan menerima pekerja asing yang dibawa oleh ejen tanpa memeriksa lebih lanjut sama ada mereka mempunyai permit kerja atau tidak.

"Permit kerja mempunyai pelbagai jenis kategori dan majikan perlu tahu mengenainya. Mereka boleh menghubungi kami untuk mendapat kesahihan mengenai perkara berkaitan pekerja asing,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Naziran iaitu lawatan sambil nasihat ke premis-premis dalam bandar Sri Aman di sini kelmarin.

Asani berkata, sehingga kini pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan ke atas mana-mana majikan yang melindungi atau mengambil pekerja asing secara haram di sini.

Katanya, menerusi program tersebut pihaknya memberi amaran dan nasihat kepada semua majikan supaya mengelak daripada mengambil pekerja asing atau bakal berdepan dengan tindakan tegas.

"Kita sentiasa melakukan operasi pemeriksaan menerusi program seumpama ini bagi memastikan tiada majikan di bahagian ini melanggar Akta Imigresen berhubung perkara ini," ujarnya.

Program Naziran di sekitar bandar Sri Aman melibatkan 20 kakitangan Pejabat Imigresen Bahagian Sri Aman termasuk dari daerah Lubok Antu dan Batu Lintang. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...