Sunday, January 17, 2010

Laluan rahsia GRO

SEREMBAN: Di sebalik beroperasi seperti biasa, seorang pengusaha sebuah pusat hiburan di sini dikesan menggunakan dua unit rahsia bersebelahan, sebagai tempat persembunyian wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Sepasukan polis dan pegawai dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang mengadakan serbuan terhadap pusat hiburan di Pusat Perdagangan Oakland, Seremban 2, di sini, awal pagi kelmarin bukan saja berjaya menemui laluan rahsia berkenaan, malah menahan 21 wanita warga asing yang bersembunyi dalam premis kosong itu.

Dalam operasi khas bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pihak polis terpaksa bergelut dengan penjaga pusat hiburan terbabit yang cuba meloloskan diri.

Pemangku Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Asisten Komisioner Sanusi Sidek, berkata berdasarkan maklumat, pusat hiburan berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti tidak bermoral, termasuk menggunakan khidmat wanita warga asing.

“Berdasarkan pemantauan dan risikan, kami berjaya menemui beberapa laluan rahsia ke tempat persembunyian mereka. Kami juga terpaksa memecah dinding dan hasilnya didapati dua premis bersebelahan pusat hiburan itu dijadikan pejabat dan satu lagi dibiarkan dijadikan lokasi persembunyian GRO itu sekiranya diserbu pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Sanusi berkata, 21 wanita asing itu ditahan bagi proses dokumentasi. Daripada jumlah itu, 13 warga China, Vietnam (tujuh) dan seorang wanita warga Kemboja yang semuanya berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun.

Beliau berkata, operasi kali ini dilakukan berdasarkan pemantauan dan maklumat orang awam, terutama daripda masyarakat setempat yang mendakwa perniagaan berkenaan mengganggu ketenteraman mereka selain mencurigakan dari segi kehadiran ramai wanita warga asing.

“Ada di antara mereka cuba berikan beberapa alasan yang tidak munasabah, termasuk hanya datang untuk berhibur dan bukan bekerja sedangkan jelas nama mereka tertera pada kad perakam waktu yang disediakan pihak pengurusan pusat hiburan berkenaan. “Selain penahanan wanita warga asing berkenaan, kami memeriksa rekod kira-kira 30 pelanggan berikutan ada antaranya dikesan dalam keadaan khayal dan perlu melalui saringan ujian air kencing,” katanya.

Tiga pelanggan yang diperiksa mempunyai rekod jenayah lampau manakala satu lagi antara orang paling dikehendaki polis dan kini ditahan bagi siasatan lanjut.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pengusaha pusat hiburan supaya jangan melakukan kegiatan menyalahi undang-undang kerana lambat laun ia pasti terbongkar pihak berkuasa. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...