Tuesday, January 26, 2010

Kes Muntik: Saksi pendakwa 'paling tadah'

SHAH ALAM: Seorang saksi pendakwaan hari ini "berpaling tadah" kepada pihak pendakwaan apabila memberikan dua keterangan bercanggah pada perbicaraan kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani di Mahkamah Tinggi di sini.

Tindakan saksi ke-21 pendakwaan, D Vanitha, 29, menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani, mengemukakan permohonan kepada mahkamah mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan untuk menyoal balas saksi itu.

Vanitha, seorang peniaga bunga hiasan adalah isteri kepada tertuduh, A Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

"Saya buat permohonan untuk guna pakai Seksyen 154 Akta Keterangan untuk mahkamah beri kebenaran kepada saya untuk soal balas saksi berhubung dua keterangan beliau yang didapati bercanggah dengan keterangan yang dia beri kepada polis kerana saksi ini dilihat telah berpaling tadah semasa beri keterangan di mahkamah.

"Mengenai isu mengapa bisul Muntik pecah, saya bacakan keterangannya (Vanitha) kepada polis: 'Kemudian saya nampak suami saya telah keluar dari bilik air dengan pegang kepala pancur dan saya tanya kenapa dia berbuat demikian, suami saya beritahu dia nak baiki kepala pancur itu.

"'Suami saya kemudian masuk ke bilik tidurnya (Muntik) dan beberapa minit kemudian saya dengar jeritan Muntik dan saya pun terus masuk ke dalam bilik tidur itu dan nampak kaki perempuan Indonesia itu (Muntik) yang ada bisul berdarah.

"'Bila saya tanya suami saya dia beritahu yang dia pukul perempuan Indonesia itu kerana tidak buat kerja seperti yang disuruh'," kata Idham.

Dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini, Vanitha memberitahu apabila terdengar jeritan Muntik, beliau kemudian pergi ke bahagian depan rumah dan mendapati bahawa bisul di kaki Muntik telah pecah serta mengeluarkan darah serta nanah.

Saksi ke-21 pendakwaan itu berkata ketika beliau bertanyakan kepada suaminya apa yang terjadi, Murugan menjawab bahawa kepala pancur telah jatuh ke atas kaki Muntik dan ketika ditanya kepada Muntik, pembantu rumah itu juga memberitahu perkara yang sama kepada beliau.

Seterusnya Idham berkata, Vanitha juga memberi keterangan bercanggah apabila ditanya apa sebenarnya terjadi kepada Muntik ketika berada di hadapan rumah bersama tertuduh, beliau menjawab Murugan memberitahu beliau bahawa Muntik dan tertuduh telah jatuh tergelincir.
"Sedangkan dalam kenyataannya kepada polis Vanitha memberitahu 'saya terdengar jeritan perempuan Indonesia itu (Muntik) dalam keadaan jatuh terlentang di atas lantai dan oleh kerana suami saya sedang duduk dan mandi di tepi perempuan Indonesia itu, saya kemudian tanya kepada suami saya apa yang terjadi dan suami saya beritahu yang dia telah tendang perempuan Indonesia itu (Muntik) menyebabkan dia jatuh.

"'Saya tanya kenapa dia buat demikian dan dia beritahu yang perempuan Indonesia itu tidak buat kerja seperti yang disuruh. Saya cuba bantu perempuan Indonesia itu tetapi dia tidak boleh bangun dan mengadu dia sakit di bahagian pinggang'," kata Idham sebelum mahkamah kemudian membenarkan beliau menyoal balas saksi itu.

Saksi itu bersetuju dengan cadangan Idham bahawa beliau tidak tahu apa yang berlaku antara suaminya dan Muntik di rumah sepanjang beliau keluar untuk berniaga.

Vanitha seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, bahawa beliau hanya mereka-reka kenyataannya berhubung dua isu terbabit bertujuan untuk menyelamatkan suaminya.

Ketika ditanya Mohd Dusuki adakah beliau masih sayangkan suaminya, Vanitha dalam tangisan menjawab: "Saya tidak tahu macam mana beritahu."

Dalam keterangannya, Vanitha turut memberitahu mahkamah bahawa polis ada mengugut untuk mendakwa beliau dan ibu mertuanya di mahkamah sekiranya beliau tidak memberi keterangan bahawa suaminya yang memukul Muntik.

Ketika ditanya Idham mengapa beliau tidak membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya, Vanitha berkata beliau tidak sempat berbuat demikian kerana telah dihantar ke Rumah Kenangan di Melaka.

Murugan, penjual air tebu, didakwa membunuh Muntik di rumahnya di nombor 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, Indonesia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada 26 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...