Saturday, January 9, 2010

Isu pembekuan amah Indonesia selesai Mac

KUALA LUMPUR: Isu pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dijangka selesai selewat-lewatnya Mac depan apabila kedua-dua kerajaan memeterai memorandum persefahaman (MoU) baru, dengan kira-kira 4,000 warga negara itu sudah berdaftar dengan agensi dan sedia untuk berkhidmat serta-merta selepas memorandum di dimetrai.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavutty, berkata antara 3,000 hingga 4,000 pembantu rumah berdaftar itu yang kebanyakannya dari Jawa Tengah dan Jawa Timur, menanti dan berharap keputusan pembekuan penghantaran mereka ke Malaysia sejak pertengahan tahun lalu, ditarik balik.

Beliau berkata, masalah berkenaan diharap selesai secepat mungkin, terutama berikutan sebahagian agensi di Malaysia sudah membayar ratusan ribu ringgit kepada agensi di Indonesia untuk penghantaran pembantu rumah.

Pada Jun tahun lalu, Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.

Alwi mendakwa, pembekuan penghantaran itu secara tidak langsung mencetuskan gejala pembantu rumah Indonesia dibawa masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang sah didalangi oleh agensi haram.

Menurutnya, pelbagai masalah susulan timbul selepas itu terutama pihak majikan terpaksa berdepan dengan isu negatif pembantu rumah yang tidak diberi latihan yang cukup, termasuk kes kecurian dan penderaan anak majikan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...