Wednesday, January 20, 2010

Imigresen tetap gempur PATI

PUTRAJAYA 19 Jan. – Jabatan Imigresen tetap akan menggerakkan jentera penggempurnya bulan depan untuk memburu mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lebih 30,000 warganegara India yang bekerja secara haram di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman menegaskan, syor Pemuda MIC supaya kerajaan memberikan pengampunan kepada puluhan ribu warganegara India yang telah ‘hilang’ serta menyarankan mereka diserapkan ke sektor tempatan adalah suatu kenyataan ‘yang tidak patut diluahkan’.


“Keputusan yang diambil oleh Imigresen pada Februari nanti tidak akan diubah, mana boleh begitu, kalau kita ‘beri muka’ kepada (PATI) warganegara India, bagaimana pula dengan (PATI) warganegara China dan Indonesia?,”' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kolum Bisik-Bisik Awang Selamat dalam akhbar ini yang menyuarakan rasa hairan apabila Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mencadangkan 40,000 warganegara India yang ‘hilang’ di Malaysia diampunkan serta diserapkan dalam sistem pekerjaan.

Awang Selamat menarik perhatian bahawa India kini mempunyai seramai 1.2 bilion penduduk dan jika cadangan MIC itu diterima, ia akan menjadi daya tarikan kepada warganegara India untuk datang, hilang dan kemudian diputihkan oleh kerajaan.

Rabu lalu, Abdul Rahman memberi amaran bahawa tindakan tegas menanti majikan yang didapati masih menggaji dan melindungi PATI di negara ini.


Majikan yang gagal mematuhi amaran itu bakal berdepan dengan tindakan tegas mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...