Saturday, January 23, 2010

Imigresen buru warga India 'hilang'

PUTRAJAYA 22 Jan. - Operasi besar-besaran membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dan memburu kira-kira 40,000 warganegara India yang 'hilang' di negara ini akan dijalankan pada 15 Februari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, operasi mencari PATI dan memburu warga India yang telah tamat tempoh visa itu bakal dijalankan pihak Imigresen tanpa melibatkan pihak berkuasa lain.

"Kita akan bermesyuarat peringkat akhir berhubung perkara ini pada 1 Februari ini.

"Kita lakukan sendirian dan tidak melibatkan pihak berkuasa lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya perkembangan kes 39,046 warganegara India yang 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen seperti anggaran dibuat pada Jun lalu.

Menurut Abdul Rahman, operasi menggempur PATI akan difokuskan di tempat-tempat kerja yang menjadi tumpuan warga asing termasuk restoran-restoran dan gerai makan.

Jelasnya, majikan yang didapati menggaji atau melindungi PATI akan turut ditahan dalam operasi terbabit.

"Tindakan tegas menanti majikan yang didapati masih menggaji dan melindungi PATI di negara ini.
"Majikan yang gagal mematuhi amaran itu bakal berdepan dengan tindakan tegas mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya.

Ditanya kemungkinan 40,000 warganegara India yang 'hilang' tersebut terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah berikutan pendedahan pihak Kastam bahawa rata-rata individu yang terlibat memegang pasport dari Chennai, India, beliau enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak tahu sama ada mereka terlibat atau tidak. Jika pihak kastam kata begitu, mungkin ada antara mereka terlibat kita tidak tahu," katanya.

Warganegara India terutama dari Chennai juga didapati paling banyak menyalahgunakan visa waktu ketibaan (VOA) sehingga mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa Malaysia tidak bersedia menimbang memperkenalkan semula skim visa itu bagi mereka yang datang dari bandar tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...