Tuesday, January 19, 2010

Ibu Tunggal Diperintah Bela Diri Cederakan Pembantu Rumah






KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini Selasa memerintahkan seorang ibu tunggal membela diri bagi tuduhan menyebabkan kecederan teruk terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan menggunakan air panas dan gunting tahun lepas.

Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata pihak pendakwaaan telah berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Hau Yuan Tyng.

Hau, 44, bekas ejen hartanah, menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan teruk dan satu pertuduhan mengakibatkan kecederaan terhadap Siti Hajar Sadli, 34, di Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara antara Februari dan Jun 2009.

Terdahulu, dalam hujahnya, timbalan pendakwa raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff berkata keterangan yang diberi oleh Siti Hajar tentang kecederaan yang dialaminya, tidak bercanggah dengan keterangan Dr Margaret Loew Poh Gaik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mohd Hafiz berkata Dr Loew mendapati kecederaan yang dialami tubuh mangsa akibat disimbah dengan air panas dan kesan melecur pada lengannya adalah masih baru.

"Dr Loew mendapati di dahinya (Siti Hajar) terdapat keruping yang baru saja terbentuk akibat terkena benda panas serta tidak dicuci atau dirawat," kata Mohd Hafiz.

Beliau berkata pemeriksaan sinar-X yang diminta dibuat oleh Dr Syamsul Rizal Abu Amin juga mengesahkan bahawa tulang hidung Siti telah patah, mungkin kerana dihentak dengan benda tumpul dan pada pendapat beliau, mungkin sejenis benda keras yang berbentuk bulat di hujungnya.

"Siti mengalami kecederaan pada kedua-dua pahanya setelah tertuduh menggunakan gunting untuk mencederakannya apabila dia (tertuduh) tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengurutnya," kata beliau.

Dalam hujahnya pula, peguam M. Manoharan yang mewakili Hau, berkata walaupun pelbagai barang kes seperti pisau, kerusi, gunting dan tukul dikemukakan kepada mahkamah, tetapi pihak pendakwaan gagal menunjukkan objek yang didakwa digunakan bagi mencederakan pembantu rumah berkenaan.

Kata beliau, dalam keterangannya, Siti Hajar berkata gunting yang dimaksudkan adalah daripada jenis yang lazim digunakan bagi memotong pokok, tetapi benda itu tidak dikemukakan, manakala tukul yang didakwa digunakan bagi memukulnya pula, berbeza dengan yang dikemukakan kepada mahkamah.

Selain itu, kata Manoharan, mangsa juga tidak melaporkan sendiri kepada polis dakwaan bahawa dia telah didera, tetapi dibuat oleh seorang kakitangan Kedutaan Indonesia.



"Kegagalan mangsa melakonkan semula bagaimana dia melarikan diri dari unit kondominium berkenaan apabila diminta berbuat demikian oleh pegawai penyiasat, juga menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan apabila wanita itu mendakwa dia melarikan diri setelah memecahkan jeriji dengan menggunakan tukul.

"Malah, semasa pemeriksan balas utama, pegawai penyiasat Insp Zulkefly Zainuddin bersetuju bahawa adalah mustahil bagi seseorang yang mempunyai saiz tubuh seperti Siti Hajar boleh meloloskan diri melalui jeriji berkenaan," kata Manoharan.

Hau, yang bertindak sebagai saksi pertama pihak pendakwaan pada perbicaraan ini, memberitahu mahkamah bahawa dia menggajikan Siti, terutama untuk menjaga anak lelakinya berusia 11 tahun, yang mengalami penyakit autistik.

Katanya sejak diambil bekerja pada Jun 2006, Siti Hajar menemani anaknya itu ke sekolah khas di Jalan Klang Lama dari 1.30 petang hingga 4.30 petang pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.

Perbicaraan di hadapan hakim Komathy akan disambung pada 9 Feb. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...